Pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya segera melupakan episod malang dibelasah oleh Pahang dengan jaringan 3-0 di Kuantan minggu lalu sebaliknya menumpukan pada pertemuan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari jumaat ini.
Setelah mengharungi dua perlawanan Liga Super, skuad penyu itu masih tercari-cari rentak untuk mencatat kemenangan pertama dan mereka tekad buru 3 mata penuh ke atas JDT.
Untuk mencapai matlamat itu, Irfan menuntut naib juara Piala Malaysia musim lalu itu tidak terlalu menghormati lawan dan bangkit mampamerkan permainan sebenar di hadapan ribuan penyokong sendiri.
“Tiada elemen lain buat pemain kami untuk mengutip mata penuh bertemu pasukan terkuat dalam negara ini melainkan mereka perlu bangkit sebagai anak jantan serta fokus sepanjang aksi 90 minit jika tidak mahu dimalukan di laman sendiri.
“Kami sedar pertemuan dengan JDT nanti bakal berdepan laluan berduri, tapi kami tuntut pemain tidak cepat putus asa dan leka,” katanya dalam Berita Harian.
Mengulas mengenai persiapan menentang JDT, Irfan memberi fokus untuk membaiki benteng pertahanan dan mengingatkan mereka agar elakkan kesilapan mudah sehingga menghukum pasukannya sendiri.
“Saya kenal pemain saya, mereka mampu bermain dengan baik, apatah lagi pernah tewaskan skuad JDT 1-0 musim lalu dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia.
“Bagaimanapun saya ingatkan pemain agar tidak terlalu menghormati lawan sebaliknya perlu lebih agresif mencipta gerakan untuk memburu jaringan awal bagi menyuntik semangat mereka.
“Semua pemain harus bijak memikul peranan masing-masing selain mengelak kesilapan individu yang bakal mengundang padah kerana lawan pantas dan bijak menghukum jika kita lalai,” kata Irfan yang mengharapkan benteng pertahanan mampu mengekang barisan serangan lawan dengan baik termasuk penjaga gol.
Ulasan
Catat Ulasan