KUALA LUMPUR 27 Feb. - Bagaikan ada yang tidak kena di Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam beberapa hari ini sehinggakan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan yang diambil alih pada 2013.
Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi Insta Story dalam Instagram hari ini seakan meluahkan kekecewaan terhadap JDT sekali pun sudah membuahkan hasil apabila memenangi 16 piala melibatkan empat piala belia, 12 piala bersama pasukan itu.
Bagaimanapun beliau kemudian bertindak memadam Insta Story tersebut beberapa jam selepas ia dimuat naik.
“Tak ramai yang sedar. Semua sibuk cakap pasal (Mario) Gomez, Safiq Rahim, (Jorge Pereyra) Diaz, Aaron (Niguez). Tapi mereka lupa siapa lahirkan kelab ini dan siapa yang rekrut mereka semua ini.
“Pemain dan jurulatih keluar masuk namun tetap menang 16 piala, termasuk empat piala belia, 12 piala pasukan senior. Tiba masanya mereka akan sedar.
“Sama macam Real Madrid, semua ingat CR7 (Cristiano Ronaldo). Tapi semua tak hargai Florentino Perez. Kalau tiada dia, tiada Galacticos, tiada semua pemain yang dia rekrut dan tiada semua piala yang dimenangi akhir akhir ini.
“Secara jujur ini mungkin tahun terakhir saya, cukuplah setakat ini, terima kasih,” tulisnya di Instagram hrhcrownprinceofjohor.
Bagaimanapun di pengakhiran tulisannya itu, TMJ melontarkan isyarat ‘tidak lama lagi, selamat tinggal’, dengan simbol lambaian tangan sekali gus mencetuskan persoalan berhubung kedudukannya.
Jika benar TMJ ingin melangkah pergi, pelbagai persoalan dan masalah akan timbul dan sudah pasti figura seperti itu sukar dicari ganti.
Seakan faham tentang perasaan yang dialami Tunku Ismail, laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) hari ini bagaikan cuba memberi sokongan terhadap beliau dengan memuat naik status ‘benarkah masalah terbesar JDT berpunca daripada TMJ?’
“Masalah terbesar dalam JDT adalah saya! - TMJ”.
Itu antara hantaran yang dimuat naik menerusi JST sehingga menarik perhatian penyokong skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, selepas membaca keseluruhan hantaran tersebut, TMJ hanya meluahkan isi hati, termasuk keghairahannya untuk melihat JDT menjadi sebuah pasukan yang hebat.
JST turut berkongsi pengorbanan yang telah dilakukan TMJ daripada segi masa, tenaga dan wang ringgit sebelum berjaya meletakkan pasukan itu sehebat hari ini.
Ulasan
Catat Ulasan