FIGUEROA TIDAK GEMBIRA DENGAN CORAK PERMAINAN PEMAINNYA
Luciano Figueroa, pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), mengakui kegagalan anak buahnya mempamerkan persembahan terbaik semalam ketika berdepan pasukan Terengganu menyebabkan juara bertahan Liga Super, JDT terpaksa berpuas hati membawa pulang hanya satu mata.
Dalam perlawanan semalam, Terengganu FC (TFC) berjaya mengikat JDT seri 2-2 sehingga tamat perlawanan.
Selepas ketinggalan kepada jaringan pembukaan Khairul Izuan Rosli ketika aksi baru berjalan tujuh minit di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, JDT dilihat hampir mengesahkan kemenangan susulan kebangkitan menerusi gol yang dijaringkan oleh Safawi Rasid dan Diogo Santo.
Namun, Kamal Azizi Zabri berjaya menjaringkan gol penyamaan dan seterusnya meleburkan hasrat pelawat untuk membawa pulang tiga mata. Di ketika itu permainan hanya berbaki seminit untuk ditamatkan.
Luciano Figueroa akur kelemahan pasukannya tetapi bertekad mahu semua pemain bangkit dalam perlawanan Liga Super selepas ini.
“Kami mahu melakar kemenangan tetapi tidak berjaya melakukannya dan saya tidak begitu gembira dengan corak permainan kami. Seluruh pasukan perlu meningkatkan prestasi tanpa sebarang alasan untuk menghadapi aksi seterusnya,” ujar Figueroa.
“Saya akui Terengganu telah bermain dengan baik. Tidak mudah untuk kita bermain dengan pasukan yang memberikan 200% ketika menentang kami. Kami sedia maklum mana-mana pasukan yang menentang JDT, stadium mereka akan penuh.
“Segala apa yang kita rancangkan pada hari ini serba tidak menjadi. Ini yang berlaku apabila kita terlalu banyak sangat ‘sit back’. Kita telah bermain dengan baik pada separuh masa kedua selepas diarahkan untuk sentiasa bergerak kehadapan dan ‘be more compact’.
“Tetapi selepas kita mendahului, kita mula ‘sit back’ semula dimana saya telah katakan kepada pemain perkara itu tidak perlu kita lakukan. Jadi, saya harap kita dapat perbaiki perkara ini,” kata Figuera lagi melalui laman facebook Johor Southern Tigers.
Sementara itu, jurulatih TFC, Irfan Bakti kelihatan berpuas hati melihat anak buahnya berjaya mencuri satu mata walaupun sasaran awal sebelum permainan mereka mahu meraih mata penuh kerana beraksi di depan penyokong sendiri.
TFC berjaya menambah 1 mata lagi melalui perlawanan malam semalam. Dengan itu jumlah mata yang berjaya dikutip oleh TFC adalah 2 mata hasil daripada 3 perlawanan (1 tewas, 2 seri).
“Saya memuji pemain saya dan persembahan sebegini perlu diteruskan. Selain itu, saya malas nak komen. Hampir 14,000 penonton menyaksikan perlawanan hari ini di stadium. Ia satu mutu persembahan yang baik dan berdisiplin tinggi,” kata Irfan.
“Kami mahukan tiga mata kerana beraksi di laman sendiri tetapi seri sudah memadai.”
Ulasan
Catat Ulasan