Perlawanan Liga Super Malaysia 2019 ke-4 Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi berkesudahan kemenangan mutlak kepada JDT dan sekali gus berjaya mengutip 3 mata penuh liga. Namun begitu, pengurus pasukan, Luciano Figueroa masih belum berpuas hati dan kurang senang dengan prestasi yang dipamerkan oleh pemainnya.
Prestasi yang tidak menentu itu dilihat oleh Figueroa walaupun Berjaya menumpaskan Melaka United 2-1 di laman sendiri. Bagaimana pun, Figueroa tetap merasa lega misi tiga mata berjaya dilaksanakan tatkala pasukan itu menguasai keseluruhan perlawanan.
“Tentunya gembira selepas kami menang dalam perlawanan itu. Tiga mata amat penting tatkala beraksi di laman sendiri dan menguasai perlawanan malah baik untuk kami.
“Tapi saya akui pada aksi babak kedua, kami tidak konsisten dan kerap memberi Melaka ruang untuk bergerak sehingga membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol yang menyebabkan kami seolah-olah panik dan aksi juga tampak kurang berkesan.
“Sudah tentu saya tidak gemar dengan apa yang diharungi pada perlawanan itu. Tapi itulah bola sepak dan kami kena perbaiki apa jua kesilapan tidak kira setiap hari mahupun setiap minggu kerana kami harus belajar,” katanya.
Penampilan pertama pemain import, Leandro Velazquez dalam aksi menentang Melaka United itu turut diakui oleh Figueroa memberi kesan di posisi tengah walaupun hanya menjalani latihan singkat bersama pasukan itu. Leandro pernah bersama JDT II sebelum ini sebelum diserap ke pasukan utama JDT ke Piala AFC 2015 dan seterusnya menghasilkan gol tunggal kemenangan di final Piala AFC 2015 menentang Istiklol FC.
“Leandro merupakan seorang pemain yang bagus. Memang benar beliau agak kepenatan kerana beliau baru sahaja tiba di sini.”ujar Figueroa
“Leandro lulus ujian pertama apabila dia memainkan peranan dalam perlawanan itu dan anda harus tahu dia baru sehari menjalani latihan bersama JDT sebelum turun menentang Melaka dan saya percaya dalam tempoh seminggu menjelang aksi menentang Selangor, Jumaat ini, dia akan lebih bersedia.”
Figueroa terpaksa menurunkan Aidil Zafuan menggantikan Mauricio Nascimento yang mengalami kecederaan.
“Mauricio pula mengalami kecederaan dan mungkin akan pulih pada minggu ini. Agak berisiko untuk menurunkan beliau untuk perlawanan ini namun saya merasakan beliau boleh beraksi pada perlawanan seterusnya nanti.
Menurut Figueroa, Natxo Insa juga dalam keadaan semakin pulih dan dijangka akan dapat diturunkan beraksi dalam perlawanan seterusnya.
Perlawanan berikutnya bagi JDT adalah menentang Selangor di Shah Alam pada 01 Mac ini untuk perlawanan kelima Liga Super 2019. Selepas perlawanan itu, JDT akan bertolak ke Jepun untuk menentang Kashima Antlers, juara ACL 2018 pada 05 Mac 2019.
Kredit Foto : The Photoshooterz
Sumber : Johor Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan