"TOLONGLAH lindungi pemain. Itu masalah saya kira bukan pasukan JDT saja hadapi tetapi semua pemain yang beraksi pada saingan liga. Sepatutnya pengadil pantas melayangkan kad kepada pemain yang melakukan kekasaran,” demikian rayuan pengurus yang juga ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa.
JDT muncul juara Sumbangsih menewaskan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus semalam namun mutu pengadilan menimbulkan seribu persoalan.
Apa tidaknya, beberapa kekasaran yang boleh menyebabkan karier pemain bola sepak berakhir bagaikan tidak diendah pengadil, Zulkarnain Zakaria yang tidak mengambil tindakan terhadap Amirul Azhan Aznan yang menendang pemain import JDT, Diogo Luis Santo pada minit ke-79.
Malah insiden pertama pada minit ke-31 selepas Brendan Gan melakukan terjahan keras dari belakang Natxo Insa hingga menyebabkan pemain itu terpaksa dikeluarkan hanya sekadar dilayangkan kad kuning.
Figueroa hanya mampu menggeleng kepala tatkala berada di tepi padang dan ketika sidang media beliau tampak enggan mengulas lanjut mengenai mutu pengadilan kerana sedar implikasi bakal dihadapi seandai mengkritik pengadil.
Namun beliau menaruh harapan supaya pengadil ditugaskan mengadili aksi liga elit domestik lebih peka dan melindungi pemain daripada menjadi mangsa terjahan keras melampau.
"Apa pun saya tidak mahu ulas lanjut. Harap ada perubahan yang lebih positif buat pengadil pada aksi masa depan. Malah saya amat gembira dengan kemenangan 1-0 menewaskan Perak dan mengekalkan Piala Sumbangsih," katanya.
Mengulas keseluruhan permainan skuad Harimau Selatan, Figueroa menegaskan aksi babak pertama lebih menarik berbanding babak kedua tatkala menguasai keseluruhan permainan dan berpeluang menjaringkan gol.
Katanya, pada babak kedua, beberapa kesilapan dilakukan pemain JDT dengan membenarkan Perak menguasai perlawanan dan hampir menjaringkan gol namun pujian kepada pertahanan yang konsisten sepanjang 90 minit perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan