PEMAIN JDT meraikan kejayaan mereka memenangi Piala Haji Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini semalam. UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
KUALA LUMPUR 3 Feb. - Mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) terus menimbulkan persoalan apabila pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa menggesa agar pengadil dapat memberi perlindungan kepada pemain setiap kali mereka beraksi di atas padang.
Enggan mengulas lanjut terhadap mutu pengadilan ketika JDT menewaskan Perak 1-0 dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, semalam, Figueroa percaya perkara tersebut dapat diperbaiki bagi aksi seterusnya.
“Saya tidak mahu memperkatakan mengenai tindakan pengadil pada perlawanan ini (semalam), anda sendiri dapat melihat perkara tersebut. Masalahnya adalah mereka tidak memberi perlindungan kepada pemain. Kadangkala pengadil perlu memberi kad kuning dengan pantas untuk menghentikan perbuatan pasukan lawan.
“Bagaimanapun, tidak mengapa, saya tidak mahu memperkatakan lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya yang dipetik daripada Johor Southern Tigers (JST) di sini hari ini.
Dalam perlawanan tersebut, pengadil, Zulkarnain Zakaria hanya melayangkan kad kuning kepada pemain tengah Perak, Brendan Gan selepas dia melakukan terjahan keras dari belakang Natxo Insa sehingga menyebabkan pemain itu dikeluarkan.
Zulkarnain juga tidak mengambil tindakan terhadap pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan yang melakukan kekasaran terhadap penyerang Harimau Selatan, Diogo Luis Santo.
Mengulas lanjut mengenai permainan JDT semalam, bekas penyerang Harimau Selatan itu berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemain apabila mencipta banyak peluang sehingga berjaya membolosi gawang pasukan pelawat di babak pertama.
“Di separuh masa kedua pula bagi saya juga tidak kurang hebatnya, namun agak sedikit berbeza kerana Perak ketara sangat mahu menjaringkan gol.
“Kami tidak bermain bola sepak dengan begitu baik di separuh masa kedua namun Perak juga gagal melakukan percubaan tepat. Kami hanya mahu mengekalkan tahap permainan kami, mengawal tempo, dan mendapatkan bola,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan