PRESTASI tidak menentu Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata mengundang rasa kurang senang pengurus pasukan, Luciano Figueroa biarpun meraih kemenangan 2-1 menewaskan Melaka United (MU) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Bagaimanapun, Figueroa yang juga ketua jurulatih tetap lega selepas misi tiga mata berjaya dilaksanakan tatkala pasukan itu menguasai keseluruhan perlawanan.
"Tentunya gembira selepas kami menang dalam perlawanan itu. Tiga mata amat penting tatkala beraksi di laman sendiri dan menguasai perlawanan malah baik untuk kami.
"Tapi saya akui pada aksi babak kedua, kami tidak konsisten dan kerap memberi Melaka ruang untuk bergerak sehingga membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol yang menyebabkan kami seolah-olah panik dan aksi juga tampak kurang berkesan.
"Sudah tentu saya tidak gemar dengan apa yang diharungi pada perlawanan itu. Tapi itulah bola sepak dan kami kena perbaiki apa jua kesilapan tidak kira setiap hari mahupun setiap minggu kerana kami harus belajar," katanya.
Mengulas penampilan pertama pemain import, Leandro Velazquez yang beraksi dalam perlawanan itu, Figueroa tidak menafikan kelibat pemain itu tampak memberi kesan di posisi tengah walaupun hanya menjalani latihan singkat bersama pasukan itu.
"Leandro lulus ujian pertama apabila dia memainkan peranan dalam perlawanan itu dan anda harus tahu dia baru sehari menjalani latihan bersama JDT sebelum turun menentang Melaka dan saya percaya dalam tempoh seminggu menjelang aksi menentang Selangor, Jumaat ini, dia akan lebih bersedia."
Ulasan
Catat Ulasan