Figueroa berang aksi pemainnya





PENGURUS Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa berang dengan prestasi anak buahnya yang gagal mempamerkan belang sebenar sebagai mana yang diharapkan ketika bertemu Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Pengurus kelahiran Argentina berusia 38 tahun itu menyifatkan pemainnya banyak melakukan kesilapan terutama pada babak pertama sekali gus dihukum tuan rumah dengan jaringan pertama perlawanan seawal minit keenam menerusi Khairul Izuan Rosli.
"Kami datang ke Terengganu untuk meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut, tetapi itulah kami tidak berjaya, saya tidak begitu gembira dengan keputusan malam ini (malam tadi).
"Pemain kami dilihat bermain tidak bersungguh-sungguh, pada babak kedua kami tukar corak permainan dan hampir menang selepas berjaya jaringkan dua gol, tetapi kesilapan berlaku lagi sehingga lawan berjaya meledak gol penyamaan pada minit terakhir dan kami dipaksa bertahan.
"Justeru, kami perlu perbaiki lagi dan kekalkan rentak hingga akhir bukannya mencipta alasan mengenai keputusan pada malam ini," katanya.
Pada aksi itu skuad Harimau Selatan patut pulang ceria dengan tiga mata selepas mendahului skuad Penyu 2-1 sehingga minit ke-88 hasil jaringan Safawi Rasid dan Diogo Santo, bagaimanapun kealpaan pertahanan membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Kamal Azizi Zabri pada minit ke-89 untuk keputusan kekal 2-2.
Mengulas mutu pengadilan yang seolah-olah memihak kepada JDT selepas pengadil dari Pulau Pinang, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkan dua sepakan penalti kepada skuadnya, bekas pemain JDT dan kelab River Plate (Liga Argentina) itu enggan mengulas berkaitan isu itu.
"Saya tidak mahu cakap apa-apa mengenai pengadil kerana ini bukan tempat saya untuk bercakap perkara itu, saya rasa ia memang penalti, lagipun ia bukan keputusan saya," katanya.

Ulasan