JOHOR BAHRU: Momemtum dua kemenangan berturut-turut diraih Johor Darul Ta'zim (JDT) akan diteruskan apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super, malam esok.
Namun di sebalik pemburuan kemenangan ketiga itu, penjaga gol JDT, Farizal Marlias menganggap ia pertembungan sengit tatkala skuad Harimau Selatan akan beraksi buat kali pertama di gelanggang lawan selepas cemerlang pada dua aksi di laman sendiri, musim ini.
Malah dia berazam mempamer aksi terbaik apabila berdepan TFC selepas mengakui agak kecewa ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-1 kerana gagal memastikan pintu gawang tidak dibolosi.
"Kecewa jugalah dengan permainan saya ketika menentang Kuala Lumpur kerana gagal mengelak gawang dibolosi. Tapi apa yang penting tiga mata mampu diraih pada perlawanan itu.
"Kami akan bertandang ke Kuala Terengganu dan akan berdepan tugas berat menentang skuad bimbingan Irfa Bakti (Abu Salim) yang kita tahu pasukan itu amat liat ditewaskan di laman sendiri.
"Tetapi saya percaya dengan barisan pemain JDT sedia ada, tidak mustahil untuk kami beri tentangan dalam perlawanan itu kerana kami juga mahukan kemenangan walaupun sedar TFC pasti mahu bangkit selepas tewas 0-3 kepada Pahang," katanya.
Farizal menegaskan perlawanan itu bukan untuk menebus kekalahan JDT kepada TFC pada aksi separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, sebaliknya aksi liga lebih diutamakan untuk meneruskan rentak kemenangan dan penting untuk kekal konsisten termasuk beraksi di gelanggang lawan.
Katanya, persiapan rapi dilakukan sepanjang seminggu selepas menewaskan Kuala Lumpur dengan perancangan taktikal lebih ampuh dan setiap pemain JDT jelas bersemangat sepanjang latihan dan mahu meneruskan rentak kemenangan.
Dia juga tidak menafikan pemain TFC memiliki pemain yang pantas dengan kelibat Kipre Tchetche bijak menghidu peluang selain kehadiran pemain baharu, Sanjar Shaakhmedov yang akan bergandingan bersama Lee Tuck di posisi tengah.
"Beraksi di tempat lawan memang ada tekanan tinggi apabila berdepan dengan penyokong mereka. Namun kita tidak boleh gunakan itu sebagai alasan dan beraksi dengan cara permainan JDT serta menggunakan segala kekuatan sedia ada.
"Saya percaya kombinasi Mauricio (Dos Santos) dan Adam (Nor Azlin) di posisi pertahanan mampu menidakkan usaha barisan serangan TFC memburu kemenangan malah saya juga tidak berdepan masalah jika beraksi bersama dengan Aidil Zafuan (Abd Radzak) atau Fadhli (Shas)," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan