Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin meneruskan momentum dua kemenangan berturut-turut yang dicapai sebelum ini apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi Liga Super, malam ini.
Farizal Marlias, penjaga gol JDT, menganggap perlawanan malam ini sengit. Skuad Harimau Selatan akan beraksi buat kali pertama di gelanggang lawan. Mereka beraksi cemerlang pada dua perlawanan di laman sendiri awal musim ini.
Bagaimana pun Farizal berazam mempamer aksi terbaik apabila berdepan TFC selepas mengakui agak kecewa ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-1 kerana gagal memastikan pintu gawang tidak dibolosi dan terpaksa melepaskan gol pertama musim ini.
“Kecewa jugalah dengan permainan saya ketika menentang Kuala Lumpur kerana gagal mengelak gawang dibolosi. Tapi apa yang penting tiga mata mampu diraih pada perlawanan itu.
Dalam perlawanan pertama Liga Super 2019, Farizal Marlias berjaya membuat ‘clean sheet’ pertama JDT dan buat dirinya apabila berjaya membantu JDT menewaskan Perak 1-0.
“Kami akan bertandang ke Kuala Terengganu dan akan berdepan tugas berat menentang skuad bimbingan Irfa Bakti (Abu Salim) yang kita tahu pasukan itu amat liat ditewaskan di laman sendiri.
Farizal tetap yakin dengan perlawanan malam ini.
“Tetapi saya percaya dengan barisan pemain JDT sedia ada, tidak mustahil untuk kami beri tentangan dalam perlawanan itu kerana kami juga mahukan kemenangan walaupun sedar TFC pasti mahu bangkit selepas tewas 0-3 kepada Pahang,” katanya.
Menurut laporan dari Berita Harian, Farizal menegaskan perlawanan itu bukan untuk menebus kekalahan JDT kepada TFC pada aksi separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.
Beliau beranggapan aksi liga lebih diutamakan untuk meneruskan rentak kemenangan dan penting untuk kekal konsisten termasuk beraksi di gelanggang lawan.
Tambah beliau lagi, jurulatih telah membuat perancangan taktikal yang lebih ampuh dan setiap pemain JDT jelas bersemangat sepanjang latihan dan mahu meneruskan rentak kemenangan.
Farizal, menurut Berita Harian lagi, tidak menafikan pemain TFC memiliki pemain yang pantas dengan kelibat Kipre Tchetche bijak menghidu peluang selain kehadiran pemain baharu. Sanjar Shaakhmedov yang akan bergandingan bersama Lee Tuck di posisi tengah boleh menggugat JDT jika tidak dikawal rapi.
“Beraksi di tempat lawan memang ada tekanan tinggi apabila berdepan dengan penyokong mereka. Namun kita tidak boleh gunakan itu sebagai alasan dan beraksi dengan cara permainan JDT serta menggunakan segala kekuatan sedia ada.
“Saya percaya kombinasi Mauricio (Dos Santos) dan Adam (Nor Azlin) di posisi pertahanan mampu menidakkan usaha barisan serangan TFC memburu kemenangan malah saya juga tidak berdepan masalah jika beraksi bersama dengan Aidil Zafuan (Abd Radzak) atau Fadhli (Shas),” kata Farizal Marlias lagi.
Ulasan
Catat Ulasan