MUSIM lalu pemain termahal Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche muncul penjaring terbanyak pasukannya selepas meledak 24 gol sepanjang Liga Malaysia (Liga-M) termasuk Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.
Namun selepas dua perlawanan, kapten kelahiran Ivory Coast yang digelar `Drogba Ganu’ itu mengakui dia bagaikan 'harimau lapar' yang begitu dahagakan jaringan selain berasa bersalah kerana masih gagal meledak sebarang jaringan setakat ini.
“Ya saya begitu teringin untuk menjaringkan gol pertama musim ini, saya juga sudah berusaha keras melakukannya ketika harapan yang tinggi disandarkan kepada saya sama ada daripada kem pasukan dan juga peminat setia.
“Namun saya akui sebenarnya sukar untuk melakukannya (jaring gol) lebih-lebih lagi pasukan lawan pasti berhati-hati apabila bertemu TFC yang dilabel finalis Piala Malaysia musim lalu.
“Saya tetap yakin masanya pasti akan tiba, yang penting saya perlu gandakan usaha untuk menemui penawar gol itu selain kerjasama daripada rakan sepasukan,” kata Tchetche ketika ditemui pada program penaja GLE Centre Enterprise iaitu pengeluar kopi super jantan bersama pemain di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak petang kelmarin.
Ketika ditanya prestasi pasukannya yang kini masih bergelut mencari rentak permainan selepas sekadar seri dengan PKNS FC 1-1 dan tewas 0-3 kepada Pahang, bekas pemain terbaik kelab Al-Suwaiq Liga Oman itu mengakui pasukannya belum menemui rentak sebenar.
“Kami dah buat persiapan yang terbaik termasuk aksi pra-musim, namun masih belum menjadi, tapi itulah bola sepak, namun saya harap peminat terus memberikan sokongan kerana liga baharu bermula dan masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan