DIOGO LUIS SANTO 50-50 DAPAT DITURUNKAN MENENTANG PERAK MALAM INI

Diogo Luis Santo 50-50 Dapat Diturunkan Menentang Perak Malam Ini

Malam ini akan berlangsungnya perlawanan pertama JDT dalam saingan Liga Super 2019 yang juga turut menjanjikan Piala Sumbangsih jika memenangi perlawanan itu. Perlawanan pembuka tirai itu akan menyaksikan pertembungan antara juara Liga Super 2018 (JDT) menentang pasukan Perak di Stadium Larkin pukul 9.00 malam ini.

Pelbagai persediaan rapi telah dibuat oleh pasukan Johor Darul Ta’zim terutama mengadakan perlawanan ujian di Thailand.
Namun satu berita yang tidak menyenangkan para penyokong JDT iaitu kesediaan pemain dan penyerang import baharu JDT, Diogo Luis Santo untuk beraksi dalam perlawanan malam ini. Beliau dilaporkan masih mengalami kecederaan yang dialaminya semasa persediaan pra-musim JDT baru-baru ini. Kedudukan beliau masih 50-50 untuk dapat beraksi.
Beliau berkemungkinan besar tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama JDT malam ini. Menurut ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa, Diogo masih menjalani rawatan dalam proses pemulihan. Namun beliau kelihatan bersemangat untuk pulih supaya dapat diturunkan pada aksi pertama itu.
“Diogo masih cedera, dia berusaha untuk pulih dan nampak sifat profesionalnya cuba pulih sebelum perlawanan menentang Perak, kami harap dia bersedia 100 peratus dan jika dia tidak bersedia kami akan merehatkannya,” kata Figueroa.
“Kami tidak mahu ambil risiko untuk menyenaraikan Diogo dalam kesebelasan utama jika dia masih cedera kerana JDT akan berdepan saingan liga yang panjang dan khidmatnya amat diperlukan pada aksi seterusnya.
“Selain Diogo, kami kehilangan Gary Steven Robbat akibat kecederaan dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan namun senario itu tidak merisaukan kerana kami mempunyai ramai pemain yang lengkap dan sedia untuk beraksi.”
Menurut Figueroa, pemain import baharu, Aaron Niguez dan Mauricio Santos Nascimento membentuk kombinasi mantap bersama pemain tempatan dan memahami corak permainan serta falsafah yang diterapkan, malah segala kelemahan ketika pra-musim di Thailand sudah diatasi.
“Saya akui agak pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama kerana kesemua pemain JDT menunjukkan prestasi memberangsangkan dan ia sebenarnya satu kelebihan untuk pasukan kerana tidak berdepan masalah menurunkan pemain terbaik.
“Di benteng pertahanan Mauricio akan diturunkan tetapi belum pasti lagi siapa akan bergandingan bersamannya sama ada Adam Nor Azlin atau Aidil Zafuan Abd Radzak kerana kedua-dua pemain itu tampak serasi dengan Mauricio. Kita tunggu sahaja esok,” katanya
Disamping itu Luciano Figueroa begitu yakin dengan kemampuan barisan pemain JDt yang akan diturunkan nanti menentang Perak.
“Para pemain telah melakukan yang terbaik sepanjang kempen pramusim di Thailand baru-baru ini. Perlawanan bertemu pasukan Thailand juga berjalan dengan lancar. Para pemain telah mempamerkan corak permainan yang baik ketika bertemu pasukan yang hebat. Kami amat yakin dan bersedia untuk menghadapi perlawanan bertemu pasukan Perak.”


Sumber : Berita Harian dan fb Johor Southern Tigers

Ulasan