Cabrera idam tiga mata di Larkin



PEMAIN JDT, Gonzalo Gabriel Cabrera (tengah) ketika aksi Piala Sumbangsih menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Kelebihan beraksi di laman sendiri akan digunakan sepenuhnya pemain sayap kiri Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera bagi memburu kemenangan kedua berturut-turut apabila berdepan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Cabrera yang menjaringkan gol kemenangan ketika Harimau Selatan menewaskan Perak 1-0 sekali gus mengekalkan Piala Sumbangsih untuk tahun kedua berturut-turut tampak bersedia mengekalkan prestasi cemerlangnya walaupun sedar bakal diikat pemain kendalian Yusri Che Lah.
Bagaimanapun, dia menyifatkan pertembungan menentang Kuala Lumpur bukanlah tugas mudah dan harus lebih berwaspada dengan helah skuad Warga Kota yang pasti ingin bangkit selepas tewas 1-3 kepada Pahang pada aksi pertama liga.
"Kami sudah lalui perlawanan yang sukar ketika menentang Perak dan kemenangan ke atas pasukan itu amat penting bagi meningkatkan keyakinan untuk menempuh aksi seterusnya, saya gembira gol tunggal perlawanan membantu JDT mengekalkan Piala Sumbangsih.
"Kita harus konsisten dan mengamal corak permainan efektif tanpa melakukan kesilapan mudah, semua tahu apabila pasukan menentang JDT, mereka akan beri persembahan lebih 100 peratus.
"Setiap perlawanan yang diharungi cukup mencabar kerana semua pasukan mahu menewaskan JDT. Jadi kami tidak boleh terlalu selesa walaupun beraksi di laman sendiri," katanya.
Cabrera menegaskan JDT pasukan terbaik di negara ini justeru mereka perlu membuktikan reputasi itu serta  berusaha mempamerkan aksi menghiburkan selain mencipta kemenangan tidak kira di laman sendiri mahupun di gelanggang lawan.
Katanya, sasaran utama musim ini adalah memenangi kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut dan jika ingin ia dicapai, setiap pemain perlu ada keyakinan dan berdisiplin sepanjang latihan.
"Semua pemain tidak boleh bersikap individu sebaliknya sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.
"Apa pun dalam pemburuan impian kita tidak boleh leka dan harus berjaga-jaga terutama kelibat barisan pemain import Kuala Lumpur, Guilherme de Paula yang harus diawasi kerana mereka cukup licik dan bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol," kata Cabrera.

Ulasan