BENARKAH MASALAH TERBESAR JDT ADALAH BERPUNCA DARI DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR?

BENARKAH MASALAH TERBESAR JDT ADALAH BERPUNCA DARI DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR?
"Masalah terbesar dalam JDT adalah, saya!"
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Sejak mengambil alih organisasi bermula dari tahun 2013, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor amat fokus dan memberi seluruh jiwa dan raga baginda kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Separuh dari rutin harian baginda adalah memikirkan tentang merealisasikan kejayaan dan impian Harimau Selatan.
Banyak yang telah DYAM Tunku Mahkota Johor serahkan kepada kelab kesayangan Bangsa Johor ini. Status, masa, wang ringgit serta perasaan telah menjadi antara perkara yang sanggup dikorbankan demi membina sebuah empayar yang gah ini.
1. STATUS
Sejak kecil, DYAM Tunku Mahkota Johor telah di latih bergaul dengan rakyat marhaen. Rakan-rakan DYAM Tunku Mahkota Johor juga kebanyakan dari kelompok rakyat biasa. Perkara itu telah menjadikan baginda tidak kekok bercampur dan bergaul dengan rakyat hingga usia meningkat dewasa.
Di JDT, elemen tersebut menjadikan Keluarga JDT menjadi luar biasa. Ikatan rapat antara baginda bersama pihak pengurusan hingga ke penyokong menyebabkan JDT ini terbina bukan sekadar nama sebuah kelab bolasepak.
Satu perkara yang amat menarik perhatian ialah selain memegang status sebagai pemilik kelab, DYAM Tunku Mahkota Johor juga dikenali sebagai seorang ‘motivator’ yang hebat kepada pasukan. DYAM Tunku Mahkota Johor sering berjumpa dengan barisan jurulatih dan pemain sebelum, ketika atau sesudah perlawanan.
Baginda akan memberi kata-kata pencetus semangat yang boleh memberi suntikan alteratif kepada pemain supaya lebih bertenaga apabila berjuang mencapai kemenangan atau bangkit apabila sedang ketinggalan.
“Sekiranya ia tidak membuatkan anda teruja walaupun telah mendapat segala-galanya, jangan lakukannya. Jika anda melakukannya untuk wang atau populariti, jangan lakukannya. Jika ia satu beban hanya untuk berfikir mengenainya, jangan lakukannya. Apabila masanya telah tiba, jika anda telah dipilih, ia akan melakukannya sendiri. Dan ia akan terus melakukannya, sehingga anda mati, atau ia mati didalam diri anda”.
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
2. MASA
Adakala, DYAM Mahkota Johor terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga apabila terlalu banyak masa diluangkan bersama Keluarga JDT. Telah menjadi rutin seharian, apabila selesai sahaja menunaikan solat subuh, DYAM Tunku Mahkota Johor akan terus memikirkan dan merencanakan perjalanan JDT.
Begitu juga apa yang berlaku di waktu malam, DYAM Mahkota Johor akan meneliti dan melihat kembali perlawanan-perlawanan yang melibatkan Harimau Selatan. Pusat latihan tertutup Padang Seri Gelam pula umpama menjadi taman reakrasi istimewa bagi anakanda baginda apabila sering dibawa melihat latihan yang telah dijalankan.
“Bagi saya JDT adalah nombor satu, tidak kira siang atau malam, tanggungjawab tetap harus diselesaikan, walaupun pukul 3 pagi (ketawa)”.
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
3. WANG RINGGIT
Di Malaysia, penajaan dalam pasukan atau kelab bola sepak menjadi perkara utama. Kebanyakan dari pasukan atau kelab tempatan menjadikan ia salah satu talian hayat untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam liga domestik. Namun berbeza dengan JDT.
Memang benar, penajaan itu elemen penting namun organisasi JDT tidak terlalu bergantung harap kepada penaja malah DYAM Tunku Mahkota Johor sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri tanpa berkira mengenai berapa banyak wang ringgit yang perlu dilaburkan untuk JDT.
“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang dari baginda Sultan untuk JDT (ketawa)”
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
4. PERASAAN
Menjadi pemilik kepada kelab yang telah mencatat sejarah gemilang di tanah air bukannya sesuatu yang mudah. DYAM Tunku Mahkota Johor perlu menghadap kecaman, fitnah dan kata-kata nista daripada golongan yang mencemburui kejayaan Harimau Selatan. Ia umpama seperti hidangan makanan yang menjadi santapan wajib setiap hari.
Baginda boleh sahaja memilih untuk tidak bersusah payah dan memeningkan kepala menerima semua perkara negatif ini dengan menikmati kehidupan seharian serba mewah seperti kehidupan Putera Raja yang lain, namun kerana rasa cinta yang menebal dan tanggunjawab menaikkan kembali martabat serta maruah bola sepak Johor, baginda sanggup menempuhi segala ini dan menerima dengan tangan yang terbuka.
“Saya akan mengangkat JDT ke satu tahap yang lebih tinggi, itulah ikrar saya”
- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Akhir kata, dengan segala rasa bersyukur dan kesedaran, jelaslah bahawa DYAM Tunku Mahkota Johor bukan masalah terbesar yang ada dalam organisasi hebat ini sebaliknya baginda adalah perwira yang sentiasa berjuang merealisasikan impian Bangsa Johor yang dahulunya amat kabur.
“We Ride Together, We Die Together”. Daulat Tuanku!
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan