Adam Nor Azlin, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), bertekad untuk jadikan musim 2019 ini sebagai musim terbaik dalam kariernya.
Tahun kedua Adam Nor Azlin bersama skuad JDT memperlihatkan beliau mula diberi peranan lebih besar selepas beliau diberi peluang berada dalam kesebelasan utama JDT dalam perlawanan pembukaan musim 2019, Piala Sumbangsih.
Dalam perlawanan Piala Sumbangsih tersebut beliau mengetepikan tonggak senior, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang hanya diletakkan dalam barisan simpanan. Ia satu permulaan yang positif buat Adam Nor Azlin.
Adam telah mempamerkan aksi meyakinkan bersama Mauricio Dos Santos di bahagian pertahanan tengah.
Susulan dari itu, beliau dijangka akan terus memainkan watak penting dalam skuad JDT di bahagian pertahanan sepanjang musim ini.
“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar, cuma kami perlu mendapatkan lebih keserasian untuk memaparkan lebih kemantapan di bahagian bawah,” kata Adam selepas perlawanan Piala Sumbangsih.
Adam lebih banyak memanaskan bangku simpanan pada musim lepas dan kurang diberikan minit permainan. Namun itu juga menjadi sandaran dan penyebab mengapa beliau perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama JDT.
Jika diturunkan pun hanya dalam perlawanan selain dari Liga Super 2018. Nampaknya hasil usaha yang tidak pernah mengenal erti penat lelah membuahkan hasil sehingga kini.
“Semua pemain perlu memberikan 200 peratus fokus dan komitmen dalam setiap perlawanan.
“Ia penting untuk kami mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini,” tambah Adam dalam temubual bersama Astro.
Adam Nor Azlin yang baru sahaja menjangkau umur 23 tahun pada 05 Januari lepas masih mempunyai banyak masa hadapan dalam karier beliau. Bermula dengan tahun pertama bersama JDT musim lepas yang hanya dapat berada di atas padang bermain untuk JDT selama 508 minit dari 8 penampilan dan 5 kesebelasan utama.
Mungkin mereka yang sering mengikuti perkembangan beliau dan JDT, sudah nampak akan perubahan pada Adam Nor Azlin untuk musim 2019 ini.
Dalam keempat-empat perlawanan ujian JDT bertemu Home United dan Kelab-kelab Thailand, Adam telah diberi peluang bermain bersama skuad utama di separuh masa pertama dalam kesemua perlawanan.
Barisan jurulatih JDT, telah berpuas hati dengan prestasi Adam dalam semua perlawanan itu dan seharusnya Adam mengambil peluang keemasan ini dalam mengekalkan dan meningkatkan prestasi permainan beliau.
Kelibat Adam bersama barisan pertahanan JDT ketika menentang Perak Sabtu lepas menampakkan keserasian dan prestasi yang baik. Apa yang perlu Adam Nor Azlin lakukan sekarang ini adalah sentiasa berusaha gigih dan meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.
Ulasan
Catat Ulasan