Tamat kesemua empat perlawanan pusingan kelayakan pusingan 2 AFC Champions League 2019 (ACL 2019) Zon Timur Asia pada malam ini. Empat pasukan yang telah mengesahkan tempat ke peringkat playoff adalah Perak (Malaysia), Ha Noi (Vietnam), Chiangrai United (Thailand) dan Newcastle Jets (Australia).
Dalam perlawanan keempat kelayakan tersebut sebentar tadi, Perak berjaya menewaskan pasukan dari Hong Kong, Kitchee SC. Perlawanan berakhir melalui sepakan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan.
Sebelum itu pada hari yang sama, Newcastle Jets dari Australia menewaskan wakil dari Indonesia, Persija Jakarta 3-1. Perlawanan tersebut juga berlangsung sehingga ke masa tambahan.
Hanya Chiangrai United sahaja yang menjadi wakil tunggal mara ke playoff dengan memenangi perlawanan menentang Yangon United dari Myanmar 3-1, manakala satu lagi wakil Thailand, Bangkok United tewas kepada Ha Noi di Bangkok.
Keempat-empat pasukan dari zon Asia Timur akan bersaing di peringkat playoff pada 19 Februari ini. Perak akan bertandang ke Kore Selatan bertemu Ulsan Hyundai manakala Ha Noi pula ke China bertemu Shandong Luneng. Chiangrai United akan melawan Sanfrecce Hiroshima di tempat lawan dan Kashima Antlers pula menunggu kedatangan pasukan Newcastle Jets.
Pemenang bagi setiap playoff pada Selasa depan itu akan melayakkan diri mereka ke peringkat kumpulan ACL 2019 yang dijangka bermula pada 05 Mac hadapan.
Tahniah kepada keempat-empat pasukan, semoga wakil Malaysia, Perak berjaya mara ke peringkat kumpulan. Satu pengalaman baru buat pasukan Perak dalam saingan di peringkat Asia.
Perak juga merupakan pasukan kedua dari Malaysia yang berjaya mara ke peringkat playoff ACL. Sebelum ini Johor Darul Ta’zim (JDT) turut pernah mara ke playoff iaitu pada tahun 2017, namun tewas di tangan pasukan dari Jepun, Gamba Osaka dengan jaringan 0-3.
Menarik diperkatakan tentang JDT yang sudah pun menunggu dalam Kumpulan E ACL 2019 bersama Gyeongnam FC. 2 pasukan lagi yang akan berada dalam Kumpulan E adalah 2 pasukan yang Berjaya memenangi perlawanan masing-masing dalam play off 2 dan playoff 4.
JDT dan Gyeongnam menunggu pemenang antara Shandong Luneng dan Ha Noi (playoff 2) dan pemenang antara Kashima Antlers dan Newcastle Jets (playoff 4). Namun, Shandong Luneng dan Kashima Antlers adalah dua pasukan yang menjadi pilihan mara dan akan masuk dalam Kumpulan E.
Ini bermakna pasukan dalam Kumpulan E berkemungkinan besar adalah JDT, Gyeongnam, Shandong Luneng dan Kashima Antlers. Namun kita terpaksa tunggu sehingga perlawanan tersebut selesai dan tiada kejutan berlaku nanti.
Sekiranya pasukan pilihan itu berjaya, maka perlawanan pertama JDT dalam ACL 2019 adalah bertemu Kashima Antlers di tempat lawan pada 05 Mac. Sama-sama kita tunggu keputusan perlawanan 19 Februari nanti. Seterusnya bertemu Gyeongnam FC di Stadium Larkin pada 12 Mac 2019.
Kredit Grafik : BBST15
Ulasan
Catat Ulasan