TMJ teruja lihat ‘energy’ JDT

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau tidak sabar untuk menunggu Liga Malaysia (Liga M) 2019 bermula kerana teruja melihat ‘tenaga’ yang ditunjukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sepanjang saingan pramusim.




KENYATAAN Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dimuat naik dalam JOHOR Southern Tigers.


JDT yang bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia musim ini mengikat kelab Thailand, Bangkok United 2-2 dalam aksi persahabatan terbaharu, kelmarin.
Juara Liga Super lima musim berturut-turut itu bakal menentang PTT Rayong FC dalam satu lagi perlawanan pramusim di Bangkok esok.
"Saya telah mengharungi banyak pramusim sebelum ini dan bagi saya, pramusim adalah waktu yang paling mustahak setiap tahun kerana ia memberi kami petunjuk awal tentang bagaimana musim kami akan berjalan.
"Untuk musim ini, saya sangat teruja dan saya tidak pernah segembira ini apabila melihat ‘energy’ yang ditunjukkan oleh pemain, gaya permainan dan intensiti mereka. Ia menakjubkan.
"Para pemain tidak sabar menunggu musim bermula, saya tidak sabar menunggu musim bermula dan jurulatih turut tidak sabar menunggu musim bermula.
"Saya perlu memberitahu anda bahawa selama bertahun-tahun saya melihat persiapan pramusim, ini adalah tahun yang paling memuaskan berdasarkan apa yang saya lihat.
"Sekiranya kita boleh membawa pulang sikap serta mentaliti ini, dan mempamerkan 60 peratus atau 70 peratus sama seperti ini sepanjang musim, saya percaya kita akan mempunyai musim yang baik pada tahun 2019," kata Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu dalam Facebook JOHOR Southern Tigers.
Liga M 2019 akan membuka tirai pada 1 Februari, namun kempen JDT bermula pada 2 Februari apabila menentang Perak dalam perlawanan Sumbangsih. - UTUSAN ONLINE

Ulasan