Tindakan Akhyar Pilih JDT Adalah Tepat -- Khalid Ali

Perpindahan bintang muda negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, ke pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah tepat bagi mengembangkan bakatnya. 

Perkara itu dipersetujui bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, yang berpendapat bahawa sebagai pemain bola sepak, Akhyar perlu mencari pasukan yang boleh menjamin masa depannya. 


"Ini liga profesional, semua (pihak) kena terima hakikat. Semua kena terima perpindahan ini. 

"Karier sebagai pemain bola sepak boleh dikatakan tidak berpanjangan, setakat 10 hingga 13 tahun sahaja. 

"Jadi, mereka kena cari satu tempat yang boleh menjamin masa depan yang cerah. 

"Mereka kena cari 'tempat' terbaik, gaji yang baik, yang boleh menampung di hari tua nanti. 

"JDT adalah satu tempat yang boleh memberi masa depan cerah kepada pemain bola sepak. 

"Kita tidak boleh nafikan JDT adalah satu tempat idaman pemain Malaysia kerana adanya fasiliti yang lengkap yang boleh bawa pemain ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Skim Bantuan Khas, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. 

Dalam masa sama, Khalid berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bertegas dalam undang-undang melibatkan perpindahan pemain bola sepak. 

Katanya, undang-undang yang ada kini agak longgar dan jika ia diteruskan serta tidak diperketatkan, arena bola sepak negara akan terus dihujani isu perpindahan pemain. 

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan telah mengikat kontrak selama empat tahun dengan pemain muda daripada pasukan Kedah itu walaupun kontrak Akhyar dengan pasukan Lang Merah hanya akan berakhir pada 31 November depan.

Isu membabitkan perpindahan pemain muda negara itu terus berpanjangan selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilihat enggan melepaskan pemain sayap lincah itu kepada JDT dan menegaskan Akhyar masih milik mereka.

Malah, KFA bertegas akan membawa kemelut ini ke Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) bagi menuntut hak ke atas pemain berusia 19 tahun itu.

Tindakan Akhyar untuk berhijrah meninggalkan Kedah tidak salah kerana statut FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jelas tidak menghalang pemain dengan syarat harus membayar baki kontrak kepada pasukan asal dan kontrak yang ditandatangani Akhyar juga membenarkan dia untuk berbuat demikian.

Ulasan