Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (tiga dari kanan) beramah mesra bersama pelatih program selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada pelatih program Future Leaders 2020 di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini. Turut sama, Pengurus Besar Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Kedah Darul Aman (INSPIN), Syed Shaharuddin Syed Abdullah (kanan). - UTUSAN ONLINE/FARIZ RUSADIO
ALOR SETAR 2 Jan. - Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemiliknya tidak perlu 'mengajar' Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkaitan undang-undang dan peraturan jika mereka awal-awal lagi melakukan rundingan secara 'pintu belakang' untuk mendapatkan pemain Lang Merah.
Malah, KFA pada masa sama menyangkal dakwaan kononnya pasukan itu tidak pandai menjaga kebajikan pemain kerana Lang Merah sentiasa prihatin terhadap soal itu termasuk kebajikan Akhyar Rashid.
Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, JDT tidak perlu mencadangkan sesuatu yang seolah-olah mengikut peraturan sekiranya punca masalah dalam kes Akhyar adalah pelanggaran peraturan itu sendiri.
“Jika bercakap mengenai Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), kononnya tak perlu dan boleh runding tetapi tindakan awal (mereka) menawarkan pemain mengikut kaedah pintu belakang itu dah salah awal-awal lagi.
“Bagi KFA paling adil adalah CAS yang merupakan pihak ketiga yang tidak berkepentingan. Badan itu boleh pertimbang hujah kesemua pihak baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), KFA, JDT malah Akhyar sendiri.
“Biar CAS buat keputusan dan kita akan terima kerana itu sahaja tujuan KFA mahu gunakan saluran itu yang memang merupakan salah satu kaedah yang termaktub dalam peraturan,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan pelatih program Future Leader 2020, di sini hari ini.
Mukhriz mengulas kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak gentar dengan keputusan KFA mahu mengheret kes perpindahan Akhyar ke CAS atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam perkembangan sama, tegas Mukhriz, tujuan membawa isu berkenaan ke CAS adalah untuk memastikan tiada ‘double standard’ serta tiada pasukan lain yang menghadapi nasib sama seperti KFA.
“Kita tiada masalah Akhyar nak ke pasukan lain, tapi cuba bayangkan kalau perkara ini terlepas begitu sahaja macam-macam lagi akan berlaku bukan hanya kepada KFA tapi pasukan lain,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar menambah, perkara berkenaan juga sebenarnya timbul bukan kerana disebabkan faktor Akhyar semata-mata tapi mahu membetulkan perkara pokok iaitu peraturan yang perlu diikuti oleh semua pihak.
Kata beliau lagi, KFA juga tidak yakin dengan sistem rayuan FAM sebelum ini yang hanya berbincang dengan Akhyar dan membuat keputusan tanpa melibatkan KFA. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan