Tiada siapa cabar JDT?


KUALA LUMPUR: Beberapa pasukan Liga Super perlu menjadi pencabar yang hebat dalam menggugat status juara bertahan selama lima musim berturut-turut yang dimiliki Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa menyifatkan perkara itu perlu ada bagi mengelak saingan Liga Super daripada memasuki 'edisi' yang membosankan apabila pasukan sama merangkul kejuaraan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM itu menjelaskan pasukan gergasi lain seperti Pahang, Selangor, Melaka dan Kedah menjadi antara pasukan yang dijangka mampu memberikan satu persaingan menarik untuk disaksikan dalam Liga Super musim ini.
Beliau berkata, jadual padat yang terpaksa diharungi JDT terutama akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) juga dilihat bakal memberi kelebihan kepada pasukan lain.
"Saya rasa kita (liga) akan suram jika JDT terus menang. Malah, ketika Manchester United muncul juara Liga Perdana Inggeris tiga kali berturut-turut dulu pun, nilai pasaran liga itu agak jatuh.
"Ia kerana adanya keputusan yang sudah dijangka dan penonton akan jadi bosan. Itu memang naluri manusia, kita akan jadi bosan kerana tak nampak saingan yang sengit dalam liga," katanya.
"Saya rasa tiada masalah untuk pasukan lain bersaing dengan Melaka ada Zainal Abidin Hassan bersama barisan kejurulatihan yang berkaliber serta diperkuat dengan tiga bekas kapten negara. Dollah Salleh (jurulatih Pahang) pula dengan imej dia yang boleh dianggap sebagai 'raja bomoh bola sepak Malaysia'.
"B Sathianathan yang terkenal dengan sifat tegas selain pasukan Selangor dibentuk dengan baik di bawah kepimpinan Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan begitu juga Kedah yang menyenaraikan ramai pemain baharu."
Kehebatan JDT dalam saingan Liga Super tampak sukar digugat dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini selepas muncul juara dalam lima musim berturut-turut walaupun kurang konsisten dalam kejohanan lain termasuk Piala FA dan Piala Malaysia.
Ditanya mengenai adakah JDT sekali lagi akan mengekalkan kejuaraan liga selepas mengikat hampir keseluruhan Harimau Malaya, Mohd Sadek berkata ia tidak boleh dijadikan alasan buat pasukan lain untuk tidak mampu memberikan saingan.
"Memang pasukan JDT sekarang ibarat Selangor dulu (diwakili ramai pemain kebangsaan) dan itu sebahagian daripada strategi pasukan, dalam hal ini kita tidak boleh salahkan JDT.
"Tapi dalam konteks sama kita perlu melihat kepada persembahan di atas padang. Pasukan lain juga bukannya terlalu banyak kekurangan, cuma perlukan perancangan betul terutama dalam mendapatkan pelabur atau penaja.
"Semua pasukan perlu berani untuk mendapatkan tajaan yang kukuh dan kalau boleh ia dalam kontrak jangka masa panjang antara tiga atau empat tahun," katanya.

Ulasan