Langkau ke kandungan utama

Syazwan sedia pulang ke JDT

SYAZWAN ANDIK ISHAK
SYAZWAN ANDIK ISHAK
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Itu situasi paling sesuai untuk menggambarkan perjalanan karier Syazwan Andik Ishak yang sedia berunding dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) tentang kemungkinan kembali ke pangkuan Harimau Selatan.
Sejurus selepas Syazwan meleraikan ikatan dengan Kuala Lumpur kerana dua bulan tidak dibayar gaji, juara Liga Super lima kali berturut-turut, JDT mengumumkan minat untuk menyambar bek kiri kebangsaan itu.
“Berikutan penamatan kontrak Syazwan Andik dengan Kuala Lumpur yang menjadikannya seorang pemain ejen bebas, JDT ingin mendapatkan pemain terbabit.
“Kami akan berbincang dengan Syazwan sama ada dia mahu kembali ke Harimau Selatan.
“Kelab berharap dapat mencapai persetujuan bersama Syazwan secepat mungkin,” kata Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam ­Facebook JOHOR ­Southern Tigers.
Syazwan, 23, ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, belum ada rundingan dijalankan dengan Harimau Selatan, namun dia gembira untuk membincangkan tentang masa depannya bersama kelab tersebut.
“Saya perlu berbincang dengan keluarga terlebih dahulu mengenai hal ini.
“Bagaimanapun secara peri­badi semestinya menjadi idaman semua pemain untuk menyertai JDT jika diberi peluang dan saya bersedia berunding de­ngan mereka,” katanya.
Harimau Selatan bukan pasukan asing buat Syazwan kerana dia pernah beraksi bersama JDT II selama dua musim pada 2016 dan 2017 sebelum menyertai Kuala Lumpur pada 2018.
Karier Syazwan bagaimanapun melonjak selepas membantu skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu muncul naib juara Piala AFF, Disember lalu.
Ditanya tentang kesukaran untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT andai dia memilih pasukan itu sebagai destinasi baharu, Syazwan sedia menyahut cabaran tersebut.
“Cabaran memang sukar sebab untuk posisi bek kiri JDT ada La’Vere Corbin-Ong tetapi saya bersedia untuk merebut tempat kesebelasan utama,” katanya lagi, yang turut hadir menyaksikan perlawanan persahabatan JDT menentang Home United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin yang berkesudahan Harimau Selatan menang 5-0 semalam.
Syazwan yang sebelum ini turut dikaitkan de­ngan Melaka United dan Selangor mengakui, selain JDT dia ada menerima beberapa tawaran selepas menyatakan hasrat meninggalkan Kuala Lumpur, namun enggan mendedahkan nama pasukan itu.
“Ada. Rahsia..kelab Liga Super dari Selatan,” katanya yang ketika ini berada di rumah ke­luarganya di Johor.

Ulasan