Syazwan pulang ke Johor




KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata pantas 'membuat kerja' selepas sah menyambar pemain muda kebangsaan, Syazwan Andik Ishak bagi musim 2019.
Meskipun baru semalam Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengeluarkan kenyataan secara terbuka yang menyatakan mereka berminat mendapatkan khidmat bekas pertahanan Kuala Lumpur itu, namun urusan perpindahan pemain berkenaan sudah diselesaikan hari ini.
Pengesahan rasmi pemain berusia 22 tahun itu menyertai skuad Harimau Selatan itu diumumkan menerusi satu klip video pendek di laman sosial Johor Southern Tigers.
Dalam video berdurasi 37 saat itu, klip terbabit memaparkan kelibat seorang pemain yang mengambil jersi pasukan itu sebelum menyarungkannya ke badan.
Pemain itu kemudiannya mengikat kasut bola dan membawa bola sebelum pemain itu didedahkan sebagai Syazwan Andik dengan kata aluan 'Selamat Kembali'.
Syazwan akan menyertai seorang lain pemain kebangsaan, Akhyar Rashid yang sebelum ini mengesahkan perpindahannya dengan kontrak empat tahun dan klausa pelepasan bernilai RM12 juta.
Sebelum ini, Syazwan pernah beraksi bersama Johor Darul Ta'zim II (JDTII) sebelum membuat keputusan menyertai Kuala Lumpur pada 2017.
Prestasi konsistennya sejak bersama The Hawks dan juga membarisi skuad kebangsaan menyaksikan khidmatnya diburu beberapa pasukan sebelum dia akhirnya membuat keputusan untuk kembali ke negeri kelahirannya.
Terdahulu, Syazwan bergelar ejen bebas apabila dia sendiri mengesahkan kontraknya bersama Kuala Lumpur sudahpun berakhir.
Dia menjelaskan kontraknya bersama pasukan itu ditamatkan selepas pasukan itu berdepan tunggakan gaji selama dua bulan bagi November dan Disember.
“Terdapat satu syarat dalam perjanjian dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika tidak menerima gaji untuk dua bulan,” katanya.

Ulasan