SYAZWAN KINI BERSAMA SKUAD JDT MEMBUAT LATIHAN PRA MUSIM DI THAILAND
Syazwan Andik, bekas pemain enggan penghijrahannya menjadi isu utama dalam kancah bola sepak negara, sebaliknya mengharapkan sokongan semua pihak susulan keputusannya menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.
Terdahulu, Facebook rasmi, Johor Southern Tigers mengesahkan Syazwan menyarung jersi skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.
Syazwan memberitahu, keputusannya berhijrah ke JDT adalah bagi membela nasibnya sebagai pemain profesional serta demi perkembangan kariernya.
“Kini saya sudah bersama JDT dan sekarang dalam perjalanan untuk berdepan aksi pramusim di Thailand. Saya akan bekerja keras untuk merebut peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan bagi perkembangan karier saya.
“Saya harap tindakan ini tidak dilihat dari sudut negatif serta disalahtafsirkan sebaliknya saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik buat diri saya.
“Saya melakukan keputusan ini selepas memikirkan semua aspek serta hubungan bersama pasukan lama yang masih baik termasuk pihak pengurusan kerana saya keluar dari Kuala Lumpur dengan cara betul,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengikut Perkara 8, Penamatan Kontrak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), klausa 8.7 menjelaskan, kontrak seseorang pemain boleh ditamatkan tanpa apa-apa kesan (sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan kesukanan) jika pemain tidak menerima gaji lebih daripada satu bulan.
Dalam klausa sama menjelaskan, setelah tidak dibayar gaji lebih daripada satu bulan, pemain akan menulis surat kepada setiausaha kelab atau pengurus menyatakan hasratnya untuk menamatkan kontrak dan seterusnya pemain berhak berunding dengan mana-mana kelab baharu tanpa perlu mendapatkan kebenaran kelab semasa.
Ulasan
Catat Ulasan