Syazwan Andik bagai sirih pulang ke gagang


Peribahasa bagai sirih pulang ke gagang adalah satu ungkapan yang tepat ditujukan kepada Syazwan Andik setelah semusim berkelana di bandaraya Kuala Lumpur, bek kiri skuad kebangsaan pulang kembali ke negeri kelahirannya dengan menyertai Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2019.
Perkara tersebut dihebahkan melalui satu muat naik video pengenalan pemain di laman facebook JOHOR Southern Tigers lebih kurang jam 11.45 pagi tadi.

Sebelum ini, anak kelahiran Skudai ini beraksi selama dua musim bersama skuad simpanan Harimau Selatan, JDT II sebelum membuat keputusan menyertai Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada awal musim 2018.
Pemergian beliau ke skuad ibu kota tersebut dengan membawa satu misi iaitu mendapatkan minit perlawanan yang lebih di pentas tertinggi bola sepak tanah air iaitu Liga Super Malaysia.
Pemergian beliau nyata merupakan satu keputusan yang tepat dimana aksinya mendapat perhatian Datuk Ong Kim Swee untuk mewakili skuad bawah 23 tahun negara, Harimau Muda.
Seterusnya khidmat beliau turut digunakan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini.
Ketika ini, posisi pertahanan kiri JDT seringkali diisi oleh pemain kacukan, La’Vere Corbin-Ong dan juga Fazly Mazlan sebagai pemain gantian.
Namun kehadiran Syazwan Andik dilihat akan memberikan lebih kedalaman skuad kepada JDT dimana mereka terlibat dalam saingan Liga Juara-Juara AFC, Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia pada musim ini.

Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

Ulasan