SUBANG JAYA: Bek kanan Selangor, Syahmi Safari enggan dibebani dengan tanda harga yang diletakkan ke atasnya selepas dilabel ‘pemain RM6 juta.’
Sebaliknya, pemain berusia 21 tahun itu mahu menjadikan ‘label’ itu sebagai pemangkin semangat bagi memperagakan persembahan yang menepati kriteria seorang pemain yang layak memegang harga setinggi itu.
“Tiada tekanan dengan klausa pelepasan itu kerana bagi saya, ia dapat menjadi motivasi bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat rakan seangkatan yang sama usia dengan saya.
“Saya berpandangan ini sebagai satu inisiatif yang bagus daripada pihak pengurusan dan saya mengambil positif perkara ini bagi memajukan lagi diri saya.
“Mungkin ketika ini rezeki saya bersama Selangor dan ini juga komitmen jangka panjang saya untuk pasukan ini. Apapun, saya akan memberikan yang terbaik demi Selangor,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Mini 3K, Subang Jaya, hari ini.
Tonggak pertahanan skuad kebangsaan itu menandatangani kontrak selama lima tahun yang menyaksikan dia akan kekal menyarung jersi Merah Kuning sehingga 2023.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bertindak awal sebelum menjadi mangsa ‘rundingan belakang’ apabila meletakkan klausa pelepasan ke atas semua pemain skuad Red Giants musim ini.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, purata tanda harga yang perlu dibayar mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain The Red Giants antara RM3 juta hingga RM6 juta.
Katanya, antara pemain paling bernilai sudah tentunya bintang muda mereka, Syahmi dengan klausa pelepasan RM6 juta.
Ulasan
Catat Ulasan