JOHOR BAHRU: Pemain sayap kanan Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid yakin pasukannya mampu mempertahankan Piala Sumbangsih dan mengutip tiga mata pertama apabila berdepan Perak pada aksi pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.
Dia yang dinobat Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu turut bersemangat untuk berdepan skuad kendalian Mehmet Durakovic yang dilabel pasukan hebat selepas menjuarai Piala Malaysia musim lalu dan mengakui persiapan pra-musim di Thailand memberi kesan positif buat JDT.
"Piala Sumbangsih adalah piala pertama yang dipertandingkan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dan sudah tentu saya dan rakan sepasukan bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik memandangkan kami beraksi di laman sendiri,” kata Safawi.
"Sememangnya keputusan positif ditagih kerana kami tidak mahu piala berkenaan terlepas kepada pasukan lawan dan hilang tiga mata, malah kami sudah diterapkan semangat kekeluargaan dan ia memainkan peranan penting apabila beraksi dalam kancah liga.
"Pada musim 2017, pertama kali saya beraksi untuk JDT dan ia pengalaman perit selepas tewas 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dan kami tidak mahu keperitan tiga musim lalu berulang.”
Musim lalu, JDT merampas kembali Piala Sumbangsih selepas menewaskan Kedah 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa, yang kini membimbing skuad Harimau Selatan, dan pemain pertahanan Marcos Antonio yang tidak lagi bersama skuad itu pada musim ini.
Mengulas mengenai aksi persahabatan di Thailand, Safawi mengakui betapa komitmen tinggi semua pemain dalam tiga perlawanan persahabatan yang dianggap kompetitif memberi pengalaman bermakna bukan sahaja kepada dirinya malah turut membabit rakan sepasukan.
Katanya, setiap pemain memberi kerjasama antara satu sama lain dan membentuk persefahaman yang baik ketika menentang tiga kelab dari Thailand malah kombinasi mantap terhasil menerusi gandingan pemain import dan pemain tempatan.
"Banyak yang kami pelajari ketika di Thailand dan ia mencetusi inspirasi baharu buat kami untuk mengharungi kempen Liga M yang kompetitif malah kami perlu berwaspada dengan Perak yang dibarisi pemain muda.
"Kita tahu Perak bukan calang-calang pasukan dan mereka mahu cari kemenangan di Larkin. Kita kenalah beraksi dengan tenang dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan tanpa membuat kesilapan mudah," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan