Safawi teruja beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC


Penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk beraksi di pentas tertinggi bola sepak Asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL) yang bakal bermula pada Mac nanti.
Malah, beliau turut mahu menjadikan kancah tersebut sebagai medan untuk meningkatkan mutu permainannya memandangkan JDT bakal bersaing dengan beberapa gergasi Asia terutamanya dari negara-negara Asia Timur.
“Musim ini saya lebih bersemangat kerana kami akan beraksi dalam  Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan semestinya saya perlu fokus dalam setiap sesi latihan.
“Saya ingin membantu JDT sama ada dalam Liga Malaysia dan juga ACL. Ini juga merupakan pentas terbaik buat untuk mengembangkan bakat di peringkat lebih tinggi.
“Dengan adanya jurulatih yang mempunyai strategi dan taktikal yang baik, saya yakin kami akan lebih menyerlah tahun ini,” katanya kepada mStar.
Selain daripada teruja untuk bermain di kancah ACL buat pertama kali dalam kerjaya bola sepaknya, Pemain Paling Bernilai (MVP) ABK18 juga sedia maklum dengan persaingan di posisi penyerang dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan.
Kemasukan penyerang Brazil, Diogo Luis Santo sebagai contohnya, akan dijadikan pembakar semangat buat Safawi untuk bersaing dengan lebih gigih demi meraih kepercayaan jurulatih, Luciano Figueroa seterusnya membarisi kesebelasan utama JDT.
Dan beliau percaya, persaingan tersebut akan memberikan keuntungan kepada pasukan JDT untuk menampilkan aksi yang lebih baik berbanding musim lalu seterusnya meraih lebih banyak kejuaraan pada tahun ini.
“Tahun ini kita tahu persaingan di kalangan pemain lebih hebat dengan kehadiran Diogo Luis Santo, Cabrera, Syafiq, Akhyar dan Hazwan yang membuatkan saya perlu menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
“Gabungan semua pemain ini turut meningkatkan semangat untuk sama-sama memberi yang terbaik kepada jurulatih seterusnya keputusan positif ketika perlawanan kelak,” jelasnya.
Selain daripada kehebatan di atas padang, penyerang berusia 22 tahun dari Dungun, Terengganu ini juga tidak terlepas dengan kisah-kisah di luar padang. Terutamanya melibatkan gosip-gosip cinta beliau bersama artis-artis tersohor tanah air.
Tegasnya, pada musim ini Safawi tidak mahu dikaitkan lagi dengan gosip-gosip sebegitu dan akan menumpuskan sepenuh fokus terhadap kerjayanya selaku pemain bola sepak professional.
“Kalau boleh saya tidak mahu lagi perkara atau isu hubungan cinta atau gosip dikaitkan dengan saya lagi.
“Saya hanya mahu fokus terhadap kerjaya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memerlukan saya kerja keras untuk berada dalam skuad utama.
“Bab-bab jodoh atau pertemuan saya serahkan kepada Tuhan,” ujarnya.
 Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

Ulasan