PRAMUSIM: KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM BERJAYA CAPAI OBJEKTIF YANG DITETAPKAN

PRAMUSIM: KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA'ZIM BERJAYA CAPAI OBJEKTIF YANG DITETAPKAN
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) telah mengimplementasikan perlawanan pramusim dengan optimalisasi. Objektif untuk memberi pendedahan kepada pemain mengenai falsafah dan taktikal JDT pada musim baharu telah berjaya dicapai. Beberapa siri perlawanan persahabatan pramusim juga menjadi satu-satunya perkara yang menjadi tumpuan utama pemerhati, pengkritik dan penyokong Harimau Selatan.
Rombakan taktikal dan barisan pemain secara keseluruhannya telah dibuat pada setiap perlawanan supaya permainan JDT lebih bersistematik. JDT menurunkan dua skuad berbeza dalam setiap perlawanan pada separuh masa pertama dan kedua bagi membolehkan penilaian dibuat oleh barisan kejurulatihan mengenai taktikal yang telah direncanakan. Ia juga memberi peluang kepada setiap pemain untuk bermain bagi mendapatkan ‘match fitness’ menjelang sepak mula perlawanan Liga Malaysia dan kejuaraan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Melihat kepada keseluruhan perlawanan persahabatan yang telah diaturkan ini, perkembangan positif jelas dapat dilihat daripada kesemua pemain terutama pemain muda JDT yang berjaya mengekalkan konsistensi sepanjang perlawanan. Pemain import terbaharu JDT iaitu Aaron Niguez juga semakin menampakkan keserasian bersama pasukan dan bakal menjadi duri dalam daging bagi pasukan pesaing apabila musim 2019 Liga Super Malaysia bermula awal Febuari ini.
Akhir kata, keseluruhan barisan jurulatih, pemain serta penyokong Merah Biru kini sudah bersedia untuk menghadapi musim baharu. Tidak sesekali gentar walau sekuat mana besi yang menjadi penghalang, tidak sesekali gusar walau sekebal mana tembok yang menjadi penghadang. Harimau Selatan akan tetap terus berjuang demi mempertahankan kejuaraan yang akan terus dijulang.
"Untuk musim ini, saya sangat teruja dan saya tidak pernah segembira ini apabila melihat ‘energy’ yang ditunjukkan oleh pemain, gaya permainan dan intensiti mereka. Ia menakjubkan. Para pemain tidak sabar menunggu musim bermula, saya tidak sabar menunggu musim bermula dan jurulatih turut tidak sabar menunggu musim bermula"- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Demi Merah Biru - Luaskan Kuasamu Johor!
Sumber artikel: Media JST

Ulasan