Nantikan gandingan Liridon Krasniqi dan Safiq Rahim – Zainal Abidin Hassan


Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan nyata gembira dengan kehadiran pemain tengah baharu, Liridon Krasniqi ke dalam pasukannya untuk mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Telah berkelana di Malaysia selama empat tahun, pemain kelahiran Kosovo ini sudah pasti cukup ‘masak’ dengan kancah bola sepak tempatan. Dari segi gaya permainan, Mat Don merupakan pemain tengah ‘box-to-box’ yang mempunyai skil gelecekan dan hantaran yang mantap.
Ini akan memberikan variasi dan kelebihan buat Zainal dan beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menggandingkan Mat Don bersama Safiq Rahim di bahagian tengah bermulanya saingan Liga Super, awal februari kelak.
“Ia berdasarkan pengalaman luasnya selama empat musim beraksi di Liga M, selain sudah mengenali rakan sepasukan serta corak permainan pemain tempatan.
“Dia tiada masalah untuk mengisi bahagian tengah bersama rakan baharunya termasuk kemungkinan besar bergandingan dengan Safiq,” katanya kepada Harian Metro.

Mat Don telah mengikuti sesi latihan bersama Melaka United selama beberapa hari. Pada pemerhatian Zainal selaku ketua jurulatih, beliau nampak keserasian Liridon Krasniqi bersama pasukan kian bertambah.
Terdahulu, Pemain Import Terbaik ABK17 sah menyertai pasukan Melaka United selepas Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Adly Zahari telah bersetuju untuk mengikat pemain tengah berusia 27 tahun tersebut selama semusim.
Liridon dijangka akan diturunkan dalam satu sesi perlawanan persahabatan menentang Sarawak di Stadium Hang Jebat, pada malam ini.
Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

Ulasan