'Mat Don' lengkapkan skuad berpengalaman Melaka United




LIRIDON Krasniqi kini milik Melaka United. - Hairul Abdul Rahim

Melaka: Kehadiran bekas tonggak import Kedah, Liridon Krasniqi bakal melengkapkan himpunan pemain penuh pengalaman milik Melaka United (MU), bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M), musim ini.
Setakat ini, MU sudah pun mengikat ramai pemain senior termasuk tiga bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan - Shukor Adan, Safiq Rahim dan Razman Roslan.
Sebelum ini, Liridon dikatakan hampir pasti menyertai Pahang, namun mencetuskan tanda tanya selepas dia memuat naik gambarnya bersama pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada akaun Instastory miliknya.
Namun, akhirnya spekulasi mengenai pasukan pilihan pemain yang popular dengan gelaran Mat Don itu terjawab apabila dia sah menyertai MU, selepas mendapat ‘lampu hijau’ Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Pengendali MU, Zainal Abidin Hassan berkata, beliau berterima kasih kepada Adly yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) kerana memberi peluang kepadanya mendapatkan khidmat Liridon.
Setakat ini katanya, Mat Don sudah menjalani latihan bersama pasukan beberapa hari lalu dan sepanjang tempoh itu, persefahamannya bersama rakan sepasukan cukup memuaskan.
"Ia berdasarkan pengalaman luasnya selama empat musim beraksi di Liga M, selain sudah mengenali rakan sepasukan serta corak permainan pemain tempatan.
"Dia tiada masalah untuk mengisi bahagian tengah bersama rakan baharunya termasuk kemungkinan besar bergandingan dengan Safiq,” katanya.
Sehubungan itu, bintang kelahiran Kosovo berkenaan yang dikatakan mengikat kontrak setahun bersama MU akan diuji dalam aksi persahabatan berdepan Sarawak di Stadium Hang Jebat, malam esok.
Zainal mengakui, sepanjang sesi latihan singkat itu, Liridon menunjukkan kemahiran dan keupayaan yang diinginkan, dan diharapkan mampu menampilkan karakter sebenar sepanjang menyertai MU.

Ulasan