LIRIDON KRASNIQI sewaktu beraksi bersama pasukan Kedah dalam kempen Piala Malaysia, musim lalu.
KUALA LUMPUR 16 Jan. - Liridon Krasniqi terus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai pasukan Liga Malaysia yang mana bakal disertainya, musim ini.
Setelah dilepaskan Kedah, Liridon atau lebih mesra dengan panggilan Mat Don dikaitkan dengan beberapa pasukan iaitu Perlis, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT). Bagaimanapun, Perlis dan Pahang sudah memberi jawapan bahawa tidak akan menandatangani kontrak dengan pemain kelahiran Kosovo itu.
Namun, hari ini, pemain berusia 27 tahun itu memuat naik gambar kereta di Johor Bahru menerusi Insta Story dalam Instagram (IG) miliknya. Spekulasi itu menguatkan lagi, Liridon bakal menyarung jersi juara Liga Super lima kali itu.
Sebelum ini, pemilik JDT Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memuat naik gambar bersama Liridon dalam Insta Story miliknya @hrhcrownprinceofjohor. Pemain tengah kelahiran Kosovo itu mencipta nama dalam Liga M setelah bersama Kedah selama empat musim sejak 2015.
Bersama Lang Merah, Liridon meraih kejuaraan Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017, selain, Anugerah Pemain Import Terbaik pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2016.
Sementara itu, dua minggu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, menjelaskan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan penambahan pemain naturalisasi.
Selain Liridon, antara pemain lain yang disebut akan diserap ke dalam skuad Harimau Malaya adalah pemain tengah Terengganu, Lee Tuck dan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula.
Liridon masih perlu tinggal setahun lagi di Malaysia bagi membolehkan skuad negara menawarkan peluang buatnya untuk menjadi pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh.
Ulasan
Catat Ulasan