Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) Kiko Insa menjangkakan perebutan kejuaraan Liga Super yang bakal bermula 1 Februari ini lebih sengit.
Pemain kacukan kelahiran Sepanyol itu percaya tahap kualiti liga semakin baik dengan peningkatan prestasi pemain tempatan serta kehadiran pemain import yang memiliki pengalaman luas.
“Ya saya percaya semua pemain tidak sabar menantikan saingan bermula dan penyokong juga teruja untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi. Saya percaya saingan liga kali ini lebih menarik dengan kehadiran beberapa pemain hebat.
“Kita boleh lihat JDT mendapatkan pemain baru Diogo (Luis Santo) iaitu pemain terbaik di Thailand dan juga pemain pertahanan dari Lazio, Mauricio (dos Santos) serta Aaron (Niguez) yang pada saya adalah pemain hebat.
“Pasukan lain juga menguatkan pasukan masing-masing jadi sudah pasti saingan kali ini lebih menarik. Untuk saya sendiri akan berusaha keras merebut peluang beraksi dalam skuad JDT,” kata Kiko yang turut boleh beraksi di bahagian tengah.
JDT bakal memulakan kempen mempertahankan kejuaraan kelima berturut-turut liga menentang juara Piala Malaysia, Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 Februari dalam perlawanan Sumbangsih.
Kiko, 30 yang sebelum ini pernah beraksi dengan kelab liga utama Thailand Bangkok Glass sebelum menyertai kelab Harimau Selatan pada Mei 2018 mengakui tahap saingan liga tempatan dengan liga negara jiran itu tidak jauh berbeza.
Namun ada beberapa aspek pasukan negeri dan kelab di Malaysia perlu ditingkatkan seperti yang dilakukan kelab Thailand.
“Pada pendapat saya, tahap saingan hampir sama cuma apa yang membezakan sedikit adalah mereka memiliki ramai pemain import berkualiti kerana mungkin mempunyai bajet lebih besar tapi kekuatan pemain tempatan hampir sama dengan kita.
“Saya berharap lebih banyak pasukan memiliki padang yang baik seperti di Thailand. Di sini masih ada kelab yang tidak memiliki fasiliti lengkap padang latihan dan bilik persalinan dan jika aspek ini boleh diperbaiki, liga kita akan lebih baik,” kata Kiko, adik kepada Natxo yang turut beraksi dengan JDT.
Artikel: MFL
Ulasan
Catat Ulasan