Jersi Baharu JDT Dibuat Dengan Teknologi Tinggi



Juara liga super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi kelab pertama dalam Liga Malaysia pada musim ini yang memperkenalkan jersi baharu mereka semalam di dataran bandaraya Johor Bahru.
Perasmian jersi baharu itu diadakan sehari selepas perlawanan persahabatan pra-musim 2019 yang pertama JDT di Stadium Larkin menentang kelab dari Singapura, Home United.
Jersi yang direka khas oleh ibu pejabat Nike di Amerika Syarikat itu hadir dalam dua varian, ‘Player Issue’ dan ‘Fans Issue’. ‘Fans Issue’ lebih mampu milik untuk penyokong pada harga RM185 berbanding ‘Player Issue’ yang harganya RM549.
Namun kami difahamkan, jersi ‘Player Issue’ tidak dijual kepada penyokong semalam kerana ianya dikhaskan untuk pemain sahaja.

Jersi away JDT 2019 dilihat menjadi pilihan ramai penyokong. FOTO: JST
Pengurus Pemasaran Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues mengesahkan syarikat gergasi sukan antarabangsa itu menaja bekas juara Piala AFC itu dengan nilai tajaan RM1.3 juta.
Beliau berkata dalam Berita Harian, tajaan jersi dan kelengkapan barangan sukan Nike pada tahun ini agak istimewa terutama reka bentuk jersi lebih dinamik dan berkualiti.
Beliau juga menjelaskan jersi yang berwarna unggu JDT cukup istimewa kerana diilhamkan daripada kenderaan jenis Ferrari milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga merupakan pemilik kelab bolasepak JDT.
“Kami bangga untuk terus menaja JDT dan seperti kita tahu pasukan ini bukan sahaja akan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) malah akan membuat penampilan pertama pada aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL).
“Reka bentuk jersi berkenaan juga direka mengikut potongan badan pemain selain memberi keselesaan di bahagian bahu. Malah jersi itu lebih ringan dan mengikut falsafah JDT iaitu bergerak ke hadapan maka kami juga seiring dengan pasukan itu,” kata Ernest.
Jersi berteknologi tinggi ini juga akan dipakai oleh pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), skuad Piala Presiden, skuad Piala Belia dan pemain Akademi JDT.
Semalam, Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan melancarkan jersi baharu tersebut dan disaksikan oleh lebih 1,000 penyokong JDT.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

Ulasan