JDT Umpama Real Madrid Buat Pemain Muda Tempatan - Sulaiman

Kemelut perpindahan membabitkan pemain muda sensasi negara, Akhyar Rashid perlu diselesaikan segera tanpa dibiarkan berpanjangan.

Menurut pengendali UKM FC, Sulaiman Hussin, beliau mengikuti rapat perkembangan isu Akhyar yang kini menjadi rebutan antara dua pasukan Liga Super iaitu Kedah dan kelab Johor darul Ta'zim (JDT). 



Sulaiman yang sinonim dengan pasukan pembangunan membimbing pemain-pemain muda termasuk UKM FC dan skuad beliau Kuala Lumpur sebelum ini, beranggapan pemergian Akhyar ke kem Harimau Selatan bukanlah didorong wang ringgit, tetapi lebih kepada mencapai kepuasan diri sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Katanya, jika pemain di Eropah amat mendambakan untuk bergelar pemain Real Madrid, begitu jugalah yang berlaku di Malaysia dengan setiap pemain tempatan mengimpikan untuk beraksi bersama JDT.

"Saya rasa Akhyar ini seorang yang kuat, dengan pelbagai tohmahan dan kritikan saya percaya dia cukup profesional untuk menghadapi dugaan ini.

"Malah, saya yakin dia keluar dari Kedah bukan kerana duit semata-mata. Memang sesiapa pun akan fikirkan pasal duit, tapi dia sebenarnya mencari peluang untuk kembangkan lagi bakatnya dan JDT adalah batu loncatan buat dia.

"Seperti di luar negara, semua pemain sebelum bersara mahu beraksi di Real Madrid. Jadi mungkin di Malaysia, Akhyar rasa dapat beraksi bersama JDT sekalipun jadilah. Dalam ramai pemain tempatan, dia antara 30 pemain yang diberi peluang untuk menyertai JDT dan dia terus ambil peluang itu.

"Mungkin kalau tak ambil sekarang, dia tak tahu bila lagi dapat peluang sama," kata Sulaiman ketika ditemui sejurus tamat aksi persahabatan pasukan Media FC menentang pasukan gabungan kelab KLFA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini berkeras untuk membawa kes perpindahan kontroversi Akhyar ke JDT ke pengetahuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

FAM menolak rayuan KFA berhubung keputusan Jawatankuasa Status badan induk itu yang memutuskan Akhyar dibenarkan menebus baki kontrak setahun bersama Helang Merah dengan nilai RM210,000 selain Harimau Selatan perlu membayar RM75,000 sebagai pampasan latihan.

Bgaiamanapun, Sulaiman tetap berharap kemelut ini dapat diatasi dengan cara lebih baik tanpa perlu diheret ke CAS ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana ia akan menjejaskan imej bola sepak Malaysia terutamanya liga tempatan.

"Saya mohon isu ini dibincangkan secara harmoni oleh kedua-dua pihak antara JDT dan KFA. Akhyar pun kenalah keluar cara baik, kalau dulu dia masuk ke KFA dengan cara terhormat, sepatutnya dia keluar juga dengan cara yang sama," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ulasan