Langkau ke kandungan utama

JDT tetap pilihan Liga M 2019

FAIZ NASIR (kanan) dijangka mampu membawa perubahan kepada Selangor dalam saingan Liga M 2019.

FAIZ NASIR (kanan) dijangka mampu membawa perubahan kepada Selangor dalam saingan Liga M 2019.

JUARA Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) antara pasukan kurang aktif dalam pasaran jual beli pemain musim 2019, namun satu pembelian yang dilakukan cukup untuk menggegarkan bola sepak tanah air apabila mereka mengikat penyerang sensasi Kedah, Akhyar Rashid.
Berbanding pesaing utamanya seperti Selangor, Melaka United, Kedah serta Terengganu yang ‘memborong’ pemain berpengalaman, Harimau Selatan sebaliknya hanya melakukan tiga pembelian iaitu Akhyar serta dua pemain import Mauricio Dos Santos Nascimento dan Aaron Niguez.
Perlis yang tidak pun beraksi dalam liga utama turut melakukan pembelian jauh lebih besar, termasuk membawa beberapa bekas bintang kebangsaan seperti Safee Sali dan Badhri Radzi.
Biarpun JDT tidak berbelanja sebesar pesaing lain, mereka tetap pilihan utama untuk mendominasi Liga Malaysia (Liga M) 2019 kerana skuad Harimau Selatan sudah cukup mantap selepas membuat pelaburan lebih awal musim lalu dengan membawa masuk bintang-bintang muda seperti Safawi Rasid, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba serta Dominic Tan.
Red Giants mahu jadi gergasi sebenar
Selepas agak lesu pada musim 2018 biarpun mara ke final Piala FA, Selangor menunjukkan kesungguhan untuk kembali menjadi pencabar utama Liga M dengan membawa masuk beberapa nama besar, termasuk jurulatih berpengalaman, B. Sathianathan yang melaungkan hasrat untuk mencabar semua trofi ditawarkan dalam liga tempatan.
Kemasukan ‘Messi Terengganu’, Faiz Nasir antara tumpuan utama Red Giants, selain bintang tengah yang terkenal dengan julukan Wan Karpet, Syazwan Zainon dan Wan Zack Haikal Wan Noor.
Dengan mengekalkan bintang sedia ada seperti pemenang Kasut Emas (penjaring terbanyak) Liga Super 2018, Rufino Segovia, tonggak Harimau Malaya, Syahmi Safari, Khairul Azhan Khalid dan Mohd. Amri Yahyah, Selangor mampu kembali menjadi pasukan digeruni.
Melaka United yakin raih trofi
Kemasukan beberapa bintang besar, terutama bekas ketua pasukan Harimau Malaya dan JDT, Safiq Rahim meletakkan Melaka United sebagai pasukan perlu diberi perhatian pada 2019.
Selain Safiq, skuad Sang Kancil juga tampak bersemangat untuk meng­hadapi musim baharu dengan kehadiran dua pemain yang memiliki kualiti pemimpin, Shukor Adan (Felda United) dan Razman Roslan (Selangor), selain Nazrin Nawi (Perak).
Dikendalikan legenda bola sepak kebangsaan, Zainal Abidin Hassan yang pernah membimbing Pahang merangkul Piala Malaysia dan Piala FA, Melaka dilihat cukup dinamik, termasuk di bahagian pertahanan yang diketuai penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Zainal juga dibantu tiga jurulatih berpengalaman iaitu Nidzam Adha Yusoff, Asri Ninggal dan Mazlan Wahid.
Lang Merah masih gah tanpa Akhyar
Biarpun hilang khidmat Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018, Akhyar, namun Kedah tetap pasukan pilihan dalam Liga M 2019, terutama dengan kemasukan kapten Harimau Malaya, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak, selain beberapa pemain berpengalaman, Azamuddin Akil, N. Thanabalan dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Penyokong Lang Merah juga tidak sabar untuk melihat sentuhan jurulatih baharu, Aidil Sharin Sahak yang diterbangkan dari Singapura.
Bekas pengendali Home United itu turut membawa bersamanya tonggak pertahanan berpengalaman Singapura, Muhammad Shakir Hamzah.
Terengganu mampu jadi pencabar
Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim sudah bersedia memacu Terengganu menyambar salah satu daripada tiga trofi utama - Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
Skuad Penyu mengekalkan empat tonggak import yang memainkan peranan besar membawa mereka muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu - Lee Tuck, Kipre Tchetche, Thierry Chantha Bin dan Igor Zonjic, selain dijangka mendapat khidmat pemain dari Uzbekistan.
Terengganu antara pasukan paling banyak membawa masuk muka baharu, termasuk Syamim Yahya dari Felda United.
Tok Gajah tidak ghairah berbelanja
MENJULANG Piala FA, menduduki tangga keempat Liga Super dan mara ke suku akhir Piala Malaysia pencapaian yang boleh dianggap baik buat Pahang sepanjang 2018.
Penyokong Tok Gajah bagaimanapun mengharapkan keputusan lebih baik diraih anak-anak buah Dollah Salleh memasuki musim 2019, namun sehingga kini mereka antara yang ‘menyepikan diri’ dalam pasaran perpin­dahan pemain.
Pahang tidak melihat rombakan besar-besaran sebagai satu keperluan, apatah lagi sudah memiliki gandingan mantap di bahagian serangan menerusi kombinasi tonggak Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha.

Ulasan