JDT sah risik Syazwan



Syazwan Andik Ishak. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya secara terbuka mengakui pihaknya kini merisik bekas pertahanan Kuala Lumpur, Syazwan Andik Ishak.
Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman sosial Johor Southern Tigers mengesahkan skuad Harimau Selatan itu berminat dengan tonggak pertahanan skuad kebangsaan yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018, bulan lalu.
“Berikutan penamatan kontrak Syazwan Andik dengan Kuala Lumpur yang menjadikannya seorang pemain ejen bebas, JDT ingin mendapatkan pemain terbabit.
“Kami akan berbincang dengan Syazwan sama ada beliau mahu kembali ke Harimau Selatan.
“Kelab berharap dapat mencapai persetujuan bersama Syazwan secepat mungkin,” kata Prest.
Sekiranya pemain berusia 22 tahun itu memeterai perjanjian bersama JDT, dia bakal mengikut jejak langkah seorang lagi pemain muda, Akhyar Rashid yang turur menyertai pasukan itu bagi menghadapi musim 2019.
Sebelum ini, Akhyar sah mengikat kontrak selama empat tahun dengan klausa pelepasan sebanyak RM12 juta.
Terdahulu, Syazwan kini bergelar ejen bebas apabila dia sendiri sudah mengesahkan bahawa kontraknya bersama Kuala Lumpur sudahpun berakhir.
Dia menjelaskan kontraknya bersama skuad The Hawks itu ditamatkan selepas pasukan itu berdepan tunggakan gaji selama dua bulan iaitu bagi November dan Disember.
“Terdapat satu syarat dalam kontrak saya dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika saya tidak menerima gaji untuk dua bulan,” katanya malam tadi.

Ulasan