KUALA LUMPUR: Juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu berhati-hati dengan ‘sentimen’ yang ada pada setiap pasukan lawan yang bakal ditentang mereka sepanjang musim 2019.
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim menjelaskan dengan setiap pasukan memiliki mentaliti untuk menewaskan skuad Harimau Selatan yang juga pasukan terbaik ketika ini, sudah tentu situasi itu akan memberi tekanan kepada mereka sekalipun beraksi di laman sendiri
“Semua pasukan selain JDT boleh dianggap sebagai ‘underdog’ meskipun ada beberapa pasukan yang boleh menjadi pencabar, jadi pasukan sebegini memiliki semangat yang jauh luar biasa apabila menentang JDT,” kata Zulakbal.
“Sudah tentu mereka akan bersungguh-sungguh dan berhempas-pulas kerana walaupun tidak menjuarai liga, mereka boleh berbangga sekiranya dapat menewaskan JDT.
“Saya menjangkakan ini antara cabaran yang perlu dihadapi JDT memandangkan semua pasukan menjadikan mereka sebagai pasukan yang perlu dikalahkan.”
Bagaimanapun, Zulakbal yang juga Jurutunjuk Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengakui kedudukan JDT tetap sukar digugat sekali gus meneruskan dominasi mereka dalam kancah bola sepak tempatan.
“Secara keseluruhan, JDT masih memiliki material untuk sekali lagi bergelar juara dan mereka memiliki kelompok pemain yang baik meskipun perlu melakukan penggiliran pemain.
“Tidak dinafikan ada beberapa pasukan yang mampu jadi pencabar khususnya Selangor, Pahang dan Perak namun saya melihat kestabilan yang ada pada JDT selama bertahun tahun akan membantu mereka terus menguasai saingan tempatan.
“Namun saya mengharapkan pasukan lain dapat tampil dengan persembahan yang lebih baik untuk mencipta kejutan dan menjadikan saingan musim 2019 lebih sengit dan menarik,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan