Langkau ke kandungan utama

JDT mahu Syazwan

SYAZWAN ANDIK ISHAK (tengah) mungkin kembali ke pangkuan JDT.

SYAZWAN ANDIK ISHAK (tengah) mungkin kembali ke pangkuan JDT.

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Juara Liga Super lima musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) secara terbuka menyuarakan minat untuk mendapatkan bek kiri kebangsaan, Syazwan Andik Ishak.
Skuad Harimau Selatan dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka akan berunding dengan pemain berusia 22 tahun itu untuk membawanya pulang ke Johor.
“Kami akan berbincang dengan Syazwan sama ada dia ingin kembali kepada Harimau Selatan.
“Kelab ini berharap akan dapat mencapai satu persetujuan dengan Syazwan secepat mungkin,” kata Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dalam Facebook JOHOR Southern Tigers, hari ini.
Syazwan semalam mendedahkan, tindakannya meninggalkan Kuala Lumpur adalah disebabkan pasukan itu gagal membayar gajinya untuk bulan November dan Disember, tahun lalu.
Tonggak Harimau Malaya itu sebelum ini beraksi bersma JDT II dari 2016 hingga 2017 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, musim lalu.
Kehebatannya beraksi bersama pasukan kebangsaan dalam Piala AFF Suzuki 2018 menarik perhatian beberapa pasukan tempatan yang berminat mendapatkan khidmatnya. - UTUSAN ONLINE

Ulasan