MOHAMMED SHAKIB ALI (enam kiri) dan Gonzalo Sanz Zaballos (lima kiri) bergambar dengan pemain JDT IV dalam majlis minum petang di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 31 Jan. - Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) IV menyasarkan untuk menduduki tangga empat teratas dalam saingan Piala Belia musim ini, memperbaiki kedudukan mereka tahun lalu.
Jurulatihnya, Gonzalo Sanz Zaballos berkata, pada musim lalu pasukan itu sekadar menduduki tempat ketujuh.
Menurutnya, kedudukan itu mampu dicapai anak buahnya berdasarkan prestasi ditunjukkan pemain menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang dijalankan.
"Sebelum memulakan musim baharu, kami mengadakan lima perlawanan persahabatan di mana kami memenangi empat daripadanya dan seri satu perlawanan.
"Saya yakin pemain ini dapat menunjukkan prestasi lebih baik pada musim ini berbanding tahun lalu, di mana sasaran kami adalah empat teratas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Minum Petang dan Sesi Pengenalan Pasukan JDT IV di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) merangkap Pengurus Pasukan JDT IV, Mohammed Shakib Ali.
Sementara itu, Mohammed Shakib berharap pemainnya dapat mempamerkan prestasi membanggakan khususnya dalam perlawanan pertama mereka pada penghujung bulan ini.
"Menang kalah adalah adat dalam pertandingan, namun pemain-pemain perlu bermain dengan bersungguh-sungguh dalam usaha mendapatkan kemenangan.
"Ini juga merupakan platform kepada pemain muda menempatkan diri dalam sukan bola sepak tempatan dan harapan saya adalah agar mereka dapat menyarung jersi kebangsaan satu hari nanti," ujarnya.- UTUSAN ONLINES
Ulasan
Catat Ulasan