Sebelum ini terdengar khabar-khabar angin dari media sosial bahawa pemain pertahanan negara, Syazwan Andik akan berpindah ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sebentar tadi, Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman facebook rasmi Johor Southern Tigers secara terbuka mengakui pihaknya berminat mendapatkan Syazwan Andik, bekas pertahanan Kuala Lumpur itu.
“Berikutan penamatan kontrak Syazwan Andik dengan Kuala Lumpur yang menjadikannya seorang pemain ejen bebas, JDT ingin mendapatkan pemain terbabit.” kata Martin Prest.
Syazwan sekarang bergelar ejen bebas apabila dia sendiri sudah mengesahkan bahawa kontraknya bersama Kuala Lumpur sudahpun berakhir yang dimuat melalui akaun instagram beliau.
Ia terjadi selepas Kuala Lumpur berdepan tunggakan gaji selama dua bulan iaitu bagi November dan Disember.
“Kami akan berbincang dengan Syazwan sama ada beliau mahu kembali ke Harimau Selatan.
“Kelab berharap dapat mencapai persetujuan bersama Syazwan secepat mungkin,” kata Prest.
Sekiranya pemain Syazwan itu mengikat perjanjian bersama JDT, dia bakal mengikut jejak langkah Akhyar Rashid yang telah mengikat perjanjian 4 tahun dengan JDT.
Ulasan
Catat Ulasan