INDIKATOR KARAKTER PEMIMPIN TERULUNG HARIMAU SELATAN

INDIKATOR KARAKTER PEMIMPIN TERULUNG HARIMAU SELATAN
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) amat beruntung kerana mempunyai seorang tokoh pemikir yang hebat di dalam organisasi. DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mempunyai ciri-ciri kualitatif seorang pemimpin yang amat berkesan untuk memastikan Harimau Selatan terus mendaki menuju mercu kejayaan.
1. INTELEKTUAL DAN CELIK BOLA
DYAM Tunku Mahkota Johor adalah seorang yang amat dekat dengan bola sepak. Kerana rasa cinta kepada bola sepak, ia telah mengubah nilai JDT. Baginda dilihat amat genius dalam mentransformasikan JDT, malah sentiasa peka tentang perjalanan kelab sepanjang musim baharu.
Ketahuilah ini adalah faktor utama mengapa JDT sentiasa menikmati kejayaan demi kejayaan. Sehinggakan ramai pemain di Malaysia menjadikan JDT sebagai destinasi impian. Sesungguhnya untuk memastikan sebuah kelab atau pasukan itu berjaya, harus ada seorang pemimpin yang tahu setiap sudut mengenai permainan bola sepak.
Punca kejatuhan sesebuah kelab atau pasukan pula adalah kerana mempunyai pemimpin yang gagal. Kegagalan itu juga sering berkait rapat dengan kesilapan memilih pemimpin yang tidak mempunyai rasa cinta kepada bola sepak, tidak mempunyai misi dalam perjalanan pasukan, buta bola sepak dan tidak tahu mengenai peraturan dan undang-undang dalam pengurusan bola sepak.
2. SENTIASA TERBUKA MENERIMA MAKLUM BALAS
DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa terbuka mengenai pendapat dan kritikan samada positif atau negatif. Baginda juga sentiasa bersikap telus dalam membangunkan JDT dengan berkongsi maklumat perancangan dan mengadakan sesi dialog bersama-sama penyokong bola sepak di negeri ini.
Segala persoalan, kritikan atau perkembangan dijawab secara terus iaitu dengan cara berhadapan dengan penyokong-penyokong tanpa sebarang protokol.
3. SENTIASA MEMPERBAIKI DIRI DAN BELAJAR
Setiap kali musim baharu, akan termanifestasi transformasi progresif bagi JDT. DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa optimis menetapkan tanda aras baharu malah sentiasa mencari titik kelemahan yang ada dalam kelab. Baginda juga tidak jemu untuk terus belajar dan meminta pandangan serta nasihat daripada individu-individu yang mempunyai kredibiliti yang hebat.
Operasional strategi DYAM Tunku Mahkota Johor dengan mengadakan jalinan usahasama dengan kelab-kelab terkenal luar negara juga menjadi pemangkin anjakan paradigma buat Harimau Selatan.
4. MEMENTINGKAN KERJA BERPASUKAN YANG INTEGRAL
DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa menanamkan semangat dalam berjuang, memburu kemenangan, menerima kekalahan dan tidak mudah mengaku kalah. Baginda sentiasa mengingatkan bahawa semangat bekerjasama secara berpasukan adalah tunjang kekuatan.
Segala rasa kecewa, suka, sedih dan marah dikongsi bersama tanpa berselindung. JDT dilatih untuk saling bergantung dari segi keupayaan, kepakaran, kemahiran dan pengetahuan serta mempunyai tanggungjawab terhadap prestasi pasukan serta bersedia melaksanakan tugasan secara bersama. Dengan keutuhan kerja berpasukan, ikatan antara pengurusan, jurulatih, pemain dan penyokong semakin kuat.
Jelas bahawa kepimpinan adalah kombinasi antara strategi dan karakter. Pemimpin harus sentiasa ada resolusi dan strategi. Seorang pemimpin adalah orang yang melihat lebih dari yang orang lain lihat, yang melihat lebih jauh daripada yang orang lain lihat dan yang melihat sebelum orang lain melihat.
Mengharapkan wujudnya satu lagi duplikasi karakter seperti DYAM Tunku Mahkota Johor wujud di Malaysia? Percayalah, itu mimpi yang mustahil menjadi kenyataan.
“Bertahun-tahun daripada sekarang, takdirnya jika saya meninggalkan JDT, rakyat Johor harus tahu bahawa tiada apa untuk dirisaukan. Struktur yang saya terapkan hari ini bermakna, setiap orang, baik Presiden, pemain mahupun kakitangan mungkin datang dan pergi, tetapi falsafah dan panduan kelab akan memastikan kestabilan jangka masa panjang. Itu saya boleh janji.”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Foto JOHOR Southern Tigers.
Add caption

Ulasan