Semua pihak sedia maklum bagaimana moral di bilik persalinan sesebuah kelab bola sepak boleh mempengaruhi prestasi di atas padang sepanjang musim. Dan apabila kita bercakap mengenai moral pasukan, ia bukan sahaja ditujukan khas kepada pemain – tetapi kepada seluruh peringkat organisasi kelab tersebut.
Di JDT, semua sedia maklum betapa akrabnya hubungan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dengan pemain-pemainnya. Tidak boleh disangkal lagi, keakraban dan kesatuan di dalam JDT itu sendiri yang berada di bawah naungan Tunku Ismail adalah salah satu sebab mengapa JDT kelihatan seperti satu keluarga besar yang sentiasa mencipta kejayaan demi kejayaan.
Penghargaan
Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berkenan untuk mengurniakan jam tangan jenama Rolex kepada semua pemain-pemain dan kakitangan kelab bola sepak itu sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan usaha keras semua pihak yang terlibat dengan kelab tersebut selama ini.
Perkara itu dikongsikan oleh melalui muat naik di rangkaian laman sosial milik kelab bola sepak itu semalam.
Antara pemain dan kakitangan yang dilihat hadir ialah Aidil Zafuan Abd Radzak, La’Vere Corbin-Ong, Fadhli Shas, Syafiq Ahmad dan Kiko Insa. Turut hadir adalah Luciano Figueroa, Pengurus dan Ketua Jurulatih JDT.
Skuad JDT kini berada di Bangkok, Thailand untuk rangka persiapan mereka bagi menghadapi musim baru bermula Februari hadapan.
Sejak diambil alih oleh TMJ pada 2013, JDT telah berjaya menjadi sebuah kuasa besar bola sepak Malaysia- menjuarai lima kejuaraan liga secara berturut-turut, satu trofi peringkat serantau (Piala AFC) pada 2015, selain satu kejuaraan Piala FA pada 2016.
Musim ini persiapan skuad JDT tampak lebih rapi dengan fokus turut diberikan kepada pertandingan Asian Champions League (ACL) yang turut disertai oleh pasukan dari selatan tanah air itu secara merit selaku juara Liga Super Malaysia pada musim lalu.
TMJ berpuas hati
Sebelum ini TMJ pernah meluahkan keterujaan akan persiapan JDT sepanjang pra musim, dan menyifatkan persiapan pada tahun ini adalah yang terbaik pernah baginda lihat.
“Untuk musim ini, saya sangat teruja dan saya tidak pernah segembira ini apabila melihat ‘energy’ yang ditunjukkan oleh pemain, gaya permainan dan intensiti mereka.
“Ia menakjubkan. Para pemain tidak sabar menunggu musim bermula, saya tidak sabar menunggu musim bermula dan jurulatih turut tidak sabar menunggu musim bermula.
“Saya perlu memberitahu anda bahawa selama bertahun-tahun saya melihat persiapan pramusim, ini adalah tahun yang paling memuaskan berdasarkan apa yang saya lihat.
“Sekiranya kita boleh membawa pulang sikap serta mentaliti ini, dan mempamerkan 60% atau 70% sama seperti ini sepanjang musim, saya percaya kita akan mempunyai musim yang baik pada tahun 2019.
Konklusi
Satu perkara yang pasti ialah JDT merupakan salah sebuah pasukan di Malaysia yang memiliki struktur untuk bersaing secara kompetitif saban musim.
Dominasi Harimau Selatan di dalam negara sudah terbukti. Kini ‘Luaskan Kuasa Mu’ takluki Asia!
Ulasan
Catat Ulasan