Harga jersi baharu Johor Darul Ta’zim 2019 bermula RM185


Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan harga jersi baharu mereka bermula RM185 sehingga RM549 menerusi laman sosial, JOHOR Southern Tigers.
Jersi tersebut akan dilancarkan pada Majlis Pelancaran Jersi JDT 2019 di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada Sabtu ini, 12 Januari 2019.
Mendapat sentuhan terus daripada ibu pejabat Nike di Amerika Syarikat, jersi JDT pada musim ini tampil dalam dua variasi iaitu Jersi Authentic (Player Issue) dan Jersi Replika (Fans Issue).
Lebih membanggakan skuad Harimau Selatan, jersi ini direka oleh pasukan pereka grafik yang sama mereka jersi untuk kelab Barcelona, Paris Saint-Germain dan skuad kebangsaan Brazil.
“Jersi varian ‘Player Issue’ ini akan menampilkan rekaan dan kualiti material yang terbaik pernah dihasilkan untuk JDT oleh Nike selain mempunyai potongan baju mengikut badan pemain (Body Fit).
“Ia dilengkapi dengan teknologi pembuatan terbaru dari Nike dan lebih ringan untuk keselesaan pemain. Jersi varian ‘Player Issue’ yang berharga RM549 ini akan digunakan eksklusif oleh skuad utama JDT.
“Varian kedua pula iaitu ‘Fans Issue’ lebih kepada untuk memenuhi permintaan dan keselesaan penyokong.
“Varian jersi ini menyamai rekaan varian ‘Player Issue’ tetapi berbeza dari segi teknologi pembuatannya, kadar keregangan dan jenis fabrik, untuk menjadikannya lebih murah tetapi masih berkualiti. Varian ini boleh didapati dengan harga RM185 dimana ia lebih murah daripada varian ‘Player Issue’.” memetik kenyataan daripada laman JOHOR Southern Tigers.
Selain daripada diumumkan dan dijual secara langsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru, laman sosial JOHOR Southern Tigers turut mengumumkan sembilan lokasi lain yang turut menjual jersi baharu JDT musim 2019.
Lokasi-lokasi penjualan adalah seperti berikut, Tangkak – Dataran Ledang, Kluang – Dataran Tasik, Kulai – Southern Tiger Hub, Jalan Cengal, Pontian – Dataran Majlis Daerah Pontian, Mersing – Dataran Teko, Pantai Mersing, Segamat – Perkarangan U-Sentral, Segamat, Batu Pahat – Arena Warna, Ayer Hitam, Muar – Dataran Tanjung Emas dan Kota Tinggi – SRCC Tenggara.
Nike dan JDT telah menandatangani kerjasama bermula tahun 2017 dengan perjanjian selama 3 tahun. Tahun ini merupakan kali pertama jersi JDT dibuat secara khusus di ibu pejabat Nike di Amerika Syarikat.

Foto Kredit: JOHOR Southern Tigers

Ulasan