Hafiy Haikal terkilan dipinggirkan skuad B-22

Hafiy Haikal terkilan dipinggirkan skuad B-22
Pertahanan muda Johor Darul Ta'zim II (JDT II),  Hafiy Haikal Ismail, mengakui berasa cemburu dengan rakan-rakannya yang terpilih mewakili skuad B-22 negara walaupun dia juga pernah beraksi bersama mereka.

Nama Hafiy Haikal sebelum ini sebaris dengan Haziq Nadzli (penjaga gol), Syazwan Andik Ishak (pertahanan), Safawi Rasid dan Jafri Firdaus Chew (penyerang) yang kini sudah digelar bintang muda negara.

Hafiy Haikal pernah bersama mereka pada 2016 di bawah kendalian bekas jurulatih, Frank Bernhardt, dalam kejohanan Piala Negara-Negara dan Kejohanan AFF B-19.

Namun, kedudukannya kini sedikit ketinggalan berbanding rakan-rakannya itu selepas dipinggirkan daripada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Bekas produk Frenz United itu kini berusia 21 tahun dan masih meletakkan harapan tinggi untuk membarisi skuad B-22 negara menjelang kempen kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Kuala Lumpur, Mac ini.

"Sebagai seorang pemain, saya pasti akan berasa cemburu.

"Namun, perasaan itu perlu bersifat positif.

"Ia akan memberikan saya semangat untuk beraksi lebih baik di atas padang.

"Setiap pemain muda pasti menginginkan peluang mewakili negara.

"Saya berserah kepada takdir dan andai ada rezeki, saya akan membuktikan kemampuan," katanya. 

Ulasan