Media antarabangsa yang berpengkalan di UK, BBC melaporkan pemain tengah Manchester United, Marouane Fellaini telah bersetuju untuk menerima tawaran dari sebuah kelab Liga Super China (CSL), Shandong Luneng.
Pemain berusia 31 tahun itu juga dijanjikan akan menjadi pemain dengan pendapatan tertinggi di dunia, melibatkan perjanjian berjumlah A$17 juta setahun atau bersamaan dengan RM70 juta.
Belum rasmi
Walaupun perpindahan Fellaini sudah diwar-warkan oleh media antarabangsa, Manchester United masih berdiam diri mengenai status pemain antarabangsa Belgium ini.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu adalah pembelian pertama Manchester United selepas Sir Alex Ferguson bersara sebagai pengurus, dan merupakan salah seorang pemain yang dibawa masuk ke Old Trafford oleh David Moyes selain daripada Juan Mata.
Fellaini masih mempunyai baki kontrak sehingga 2020 untuk kekal bersama Manchester United, selepas memperbaharui kontrak pada musim panas lalu ketika pasukan itu berada di bawah kendalian Jose Mourinho.
Namun selepas pengurus dari Portugal itu dipecat, Fellaini hanya beraksi sekali sebagai pemain gantian di dalam perlawanan Piala FA di bawah kendalian pengurus interim, Ole Gunnar Solskjaer.
Solskjaer sebelum ini berkata beliau tidak melihat kemungkinan pemain-pemain sedia ada di Old Trafford akan berpindah keluar, namun tawaran terbaru dari Shandong Luneng mungkin mengubah perspektif tersebut. Jendela perpindahan di China akan dibuka sehingga 28 Februari hadapan, bermakna Fellaini masih boleh menyertai kelab China tersebut walaupun selepas jendela perpindahan di England ditutup pada Khamis ini.
Aksi di Larkin?
Shandong Luneng adalah salah sebuah kelab yang beraksi di pertandingan AFC Champions League (ACL) pada musim ini. Namun demikian kelab China ini harus melalui play-off, sebelum mengesahkan kemaraan ke peringkat kumpulan.
Berdasarkan jadual oleh AFC, Shandong Luneng akan ditempatkan bersama JDT dan Gyeongnam FC di Kumpulan E ACL, sekiranya berjaya menewaskan lawan mereka di pusingan play-off.
Tetapi sebelum mengimpikan untuk melihat Shandong Luneng beraksi di Larkin, kelab tersebut terlebih dahulu perlu melepasi halangan AGMK FC dari Uzbekistan atau pun FC Istikol dari Tajikistan.
Adakah kita akan menyaksikan pemain-pemain tempatan seperti Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Farizal Marlias berhadapan dengan Marouane Fellaini di Stadium Tan Sri Dato’Haji Hassan Yunos di ACL musim ini?
Ulasan
Catat Ulasan