Azraai Khor ramal JDT julang Piala Sumbangsih 2019


Kehangahatan pertembungan di antara juara Liga Super 2018 dan juara Piala Malaysia 2018 dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau dikenali sabagai Piala Sumbangsih pada sabtu ini kian membara.
Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dibimbing Luciano Figueroa juga merupakan juara Liga Super Malaysia lima kali berturut-turut telah berjaya menjulang piala pembukaan Liga Malaysia itu sebanyak tiga kali sejak tahun 2014.
Atas sebab itu, Harimau Selatan menjadi calon pilihan juara edisi 2019 berbanding Perak oleh bekas pengendali skuad Hijau Kuning, Azraai Khor Abdullah. Beliau melihat keazaman dan persediaan pasukan JDT dengan membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi sebagai kekuatan tambahan berbanding pasukan ‘Kejor Yob Kejor’ yang mengekalkan hampir 90% muka lama pada musim lalu.
Selain itu, JDT turut memiliki kelebihan bermain di halaman sendiri iaitu Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dan bakal menerima suntikan semangat dengan sokongan padu 30,000 penyokong tegar Harimau Selatan.
“Perlawanan antara JDT dan Perak sudah tentunya menarik kerana ia mempertemukan dua juara musim lalu iaitu juara Liga Super (JDT) dan Piala Malaysia (Perak) sebagai menandakan permulaan liga musim ini.
“Pada saya kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri. Masing-masing juga melalui tempoh pramusim yang hebat dan membuat persiapan yang baik menuju ke sepak mula liga.
“Namun dengan keazaman tinggi JDT yang merekrut pemain hebat tempatan dan import, saya lihat JDT berkeupayaan besar untuk memenangi Piala Sumbangsih apatah lagi bakal beraksi di halaman sendiri.
“Sudah tentu ia memberi kelebihan kepada JDT berbanding Perak yang saya perhatikan tidak banyak perubahan pemain yang dibuat oleh pasukan itu musim ini apabila mengekalkan sebilangan besar muka musim lalu,” ujarnya kepada Berita Harian.
Azraai Khor kini mengendalikan skuad Piala Presiden Kedah selaku ketua jurulatih turut meramalkan JDT mampu menumbangkan The Bos Gaurus dengan jaringan 2-0. Namun Azraai juga percaya Perak mampu menyangkal ramalannya memandangkan pengendali berpengalaman Perak, Mehmet Durakovic pasti mempunyai rancangan tersendiri untuk perlawanan kali ini.
“Agak sukar buat mana-mana pasukan untuk menewaskan JDT terutamanya apabila beraksi di Larkin. Jadi saya rasa perkara sama akan berlaku kepada Perak nanti.
“Apapun, kekuatan Perak juga tidak boleh disangkal kerana mereka dibimbing oleh jurulatih yang berpengalaman,” katanya lagi.
Foto Kredit: Piala Presiden Kedah

Ulasan