KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Akhyar Rashid kini sah pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas Harimau Selatan mendaftarkan namanya dalam senarai pemain kepada pentadbir liga itu.
Perkembangan terbaru itu, sudah semestinya melegakan Akhyar selepas terpalit dengan kemelut perebutan antara bekas majikannya Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan JDT, yang menyaksikan KFA bakal mengheret isu perpindahannya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, meskipun KFA enggan melepaskan Sijil Perpindahan Negeri (SPN) atau kini dikenali dengan Surat Pelepasan, Akhyar tetap boleh didaftarkan sebagai pemain Harimau Selatan dengan menggunakan status 'pelepasan sementara' yang boleh dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Katanya, JDT antara pasukan terawal yang mendaftarkan senarai pemain pada 7 Januari lalu dan nama Akhyar dalam senarai menunggu selama 14 hari untuk mendapatkan Surat Pelepasan daripada KFA.
Bagaimanapun, menurutnya sekiranya tiada jawapan daripada skuad Helang Merah sepanjang tempoh itu, Akhyar boleh mendapatkan pelepasan sementara untuk membenarkannya beraksi secara sah bersama JDT untuk tempoh 90 hari sebelum menerima pelepasan kekal daripada FAM.
"Hari ini adalah hari terakhir untuk semua pasukan menyerahkan pendaftaran pemain yang pertama sebelum pendaftaran kedua pada penghujung bulan depan iaitu pada 20 Februari.
"JDT sudah menyerahkan (nama pemain) dan nama Akhyar Rashid memang ada.
Namun buat masa ini, Akhyar dalam senarai menunggu kerana masih tertinggal satu lagi dokumen iaitu surat pelepasan dari KFA.
"Sekiranya KFA tidak memberi surat pelepasan dalam tempoh 14 hari bermula 7 Januari lalu, Akhyar boleh mendapatkan pelepasan sementara daripada FAM bagi membolehkannya beraksi dalam liga dan ia peraturan sama seperti yang digunakan oleh FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
"Jadi, Akhyar tak ada masalah untuk bermain dan dia boleh diturunkan untuk aksi pertama JDT (Piala Sultan Ahmad Shah) menentang Perak pada 2 Februari ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil KFA di Pejabat MFL, di sini hari ini.
Mengulas mengenai perjumpaan dengan KFA hari ini, Kevin mengakui pertemuan berkenaan berjalan lancar dengan topik perbincangan terarah berkaitan perancangan operasi dan pengurusan liga selain turut menyentuh mengenai isu Akhyar.
"Pasal Akhyar juga kita ada bincangkan. Tapi tidak menyeluruh, cuma sekadar menerangkan perkara dan peraturan asas saja. Cuma kita tegaskan bahawa, isu membabitkan Akhyar ini tidak perlu hingga ke CAS, sebaliknya ada saluran lain iaitu melalui Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).
"Kalau KFA tetap nak bawa kes berkenaan kepada CAS itu terpulang kepada mereka. Sebagai rakan kongsi, apa juga tindakan KFA akan memberi gambaran dan imej kepada liga kita dan saya harap mereka akan meneliti perkara ini sebaik-baiknya sebelum bertindak," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan