TUNGGAKAN GAJI: BARAH YANG TIDAK AKAN DIBIARKAN ADA DI JDT

TUNGGAKAN GAJI: BARAH YANG TIDAK AKAN DIBIARKAN ADA DI JDT
Masalah tunggakan gaji adalah parasit yang merencatkan perkembangan kemajuan pasukan dan kelab bola sepak. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan memastikan masalah ini tiada dalam organisasi.
Banyak kesan negatif yang boleh terjadi akibat isu ini.
1. IMPLIKASI KEPADA KEHIDUPAN
Jurulatih dan pemain bola sepak di Malaysia merupakan salah satu karier profesional. Hampir kesemua golongan ini bergantung secara total dan menjadikan bola sepak sebagai punca sumber pendapatan utama. Namun sejak dahulu lagi, banyak kes melibatkan jurulatih dan pemain yang terpaksa menanggung beban dan tidak menerima berbulan-bulan gaji dari organisasi. Akibat dari isu yang tidak pernah selesai ini, iannya amat memberi tekanan untuk mereka meneruskan kehidupan seharian.
2. IMPLIKASI KEPADA INTEGRITI
Jurulatih dan pemain yang menjadi mangsa tunggakan gaji ini juga terdedah kepada gejala rasuah. Mereka mudah terpedaya malah terpengaruh dengan longgokan wang dan ganjaran yang ditawarkan oleh individu yang terlibat mengatur perlawanan. Episod hitam bola sepak negara pada tahun 1990-an akan berulang sekiranya perkara ini dipandang remeh.
3. PANDANGAN NEGATIF TERHADAP PASUKAN ATAU KELAB
Isu berkenaan tunggakan gaji pemain di Liga Malaysia memberi implikasi negatif kepada persembahan pasukan atau kelab, malah turut mencemarkan nama organisasi. Ianya juga dilihat bakal menggambarkan pandangan negatif pemerhati bola sepak luar tentang lanskap liga Malaysia yang terkini.
4. MENGHADAPI TINDAKAN DAN HUKUMAN
Pelbagai tindakan drastik bakal diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL). Tindakan memotong geran tahunan pasukan, tindakan memotong mata dalam liga juga sudah pasti dikenakan oleh FAM dan MFL untuk membendung masalah itu. Tindakan ini akan memberi implikasi buruk terhadap kedudukan pasukan dalam liga.
Akhir kata, JDT amat menitikberatkan perkara berkaitan tanggungjawab sosial. Ia termasuk berkaitan gaji keseluruhan barisan jurulatih, pemain serta staf sokongan supaya sentiasa mengikut jadual. Dengan pengurusan kewangan yang baik diterapkan dalam organisasi, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor tidak akan sesekali membiarkan masalah ini membarahi JDT. Luaskan Kuasamu Johor.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan