Langkau ke kandungan utama

Tindakan JOHOR Southern Tigers umum Akhyar tidak hormati undang-undang - KFA

MOHD. ASMIRUL ANUAR ARIS.


MOHD. ASMIRUL ANUAR ARIS.

ALOR SETAR 29 Dis. - Tindakan Johor Darul Ta'zim (JDT) melalui laman Facebook rasminya, JOHOR Southern Tigers mengumumkan Akhyar Rashid sebagai pemain baharu pasukan itu disifatkan sebagai tidak wajar dan tidak menghormati proses undang-undang.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd. Asmirul Anuar Aris menegaskan, JDT dilihat seperti tidak menghormati proses perundangan kerana isu berkenaan masih lagi dalam proses perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Soalnya, beliau juga tidak faham tujuan sebenar laman Facebook rasmi JDT itu bertindak demikian sedangkan pasukan Harimau Selatan itu tidak pernah sama sekali mengadakan rundingan dengan PFA bagi mendapatkan Akhyar.
“Kami tidak kisah melepaskan Akhyar tetapi lakukan lah dengan cara yang betul. Lagipun isu pampasan Akhyar masih belum selesai kerana kami ingin membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Hari ini, pemain sayap skuad Harimau Malaya itu diumumkan sebagai pemain baharu yang bakal memperkuatkan pasukan juara Liga Super lima kali kali, JDT bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pengumuman tersebut dibuat melalui rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers sambil memaparkan penampilan Akhyar dengan kapsyen “Welcome To JDT”.
Akhyar yang mewakili skuad Kedah musim ini merupakan satu-satunya pemain tempatan yang diumumkan menyertai JDT setakat ini selepas mereka mengesahkan kemasukan dua pemain import baharu iaitu Aaron Niguez dan Mauricio Dos Santos Nascimento. - UTUSAN ONLINE

Ulasan