Nampaknya selepas pendedahan mengenai pemain sayap kebangsaaan, Akhyar Rashid yang sudah bergelar ‘free agent’, banyak pasukan mula memasang impian untuk memancing pemain muda itu ke pasukan mereka.
Selama ini Johor Darul Ta’azim menjadi pilihan utama oleh para penyokong untuk menjadi kelab baru Akhyar, tiba-tiba makin banyak pasukan tampil mahu mendapatkan Akhyar.
Terbaru sudah semestinya kelab yang sedang berbelanja besar seperti seorang pekerja yang mendapat bonus akhir tahun dan berada di jualan akhir tahun, Perlis. Selain Perlis, turut dikaitkan dengan Akhyar adalah Selangor FA.
Apa kata jika semua pasukan cuba memancing Akhyar? Semua pasukan sama ada dari Liga Super sehingga Liga Premier patut mencuba nasib untuk mendapatkan Akhyar. Sudah tentu semua pasukan ada keistimewaan sendiri yang mampu menarik Akhyar.
Kuala Lumpur mempunyai bandar moden yang seharusnya mampu menarik minat Akhyar. Kita boleh melihat bagaimana ramai rakyat Malaysia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan kerjaya mereka. Melaka pula mungkin boleh menggunakan elemen bandar bersejarah mereka untuk menarik Akhyar. Pasukan seperti Terengganu dan Sabah mempunyai banyak pulau yang cantik yang sentiasa menarik perhatian pelancong luar. Pendek kata, Akhyar patut cuba mendengar dulu tawaran daripada semua pasukan dan pilih yang terbaik.
Ini sebenarnya bukanlah satu artikel yang serius. Sebenarnya sekadar gurauan kerana kita tahu pemain pastinya akan memilih destinasi mereka berdasarkan tawaran yang berkaitan dengan bolasepak seperti gaji terutamanya. Dengan kerjaya bolasepak yang tidak terlalu panjang seperti kerjaya lain, amat logiklah untuk pemain memilih pasukan yang bukan sahaja mampu membayar gaji yang tinggi, tetapi juga konsisten. Tetapi, bak kata pepatah, belum cuba belum tahu. Tunggu apa lagi, ayuh cuba tawar kontrak kepada Akhyar!
Ulasan
Catat Ulasan